KUALA LUMPUR 1 Nov. - Ahli Parlimen Kulim/Bandar Bahru, Zulkifli Noordin (gambar) berkata, kenyataan yang dibuatnya dalam wawancara dengan Mingguan Malaysia berhubung hak orang Islam di dalam Perlembagaan tidak bercanggah dengan dasar yang ditetapkan oleh Parti Keadilan Rakyat (PKR) dalam pilihan raya umum lalu.
Sambil menyatakan kesediaan untuk bertemu Penasihat PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim bagi memberikan penjelasan, Zulkifli berkata, apa yang beliau bangkitkan dalam wawancara berkenaan selaras dengan dasar parti tersebut yang mempertahankan Perlembagaan Persekutuan.
''Setakat ini saya tidak nampak ada sebarang kekeliruan. Dalam wawancara berkenaan saya hanya menyatakan hak orang Islam menurut Perlembagaan.
''Langkah ini samalah juga seperti mana PKR kelihatan berjuang habis-habisan berhubung hak kaum Cina, India dan kaum lain di dalam Perlembagaan,'' katanya ketika dihubungi di Kulim, hari ini.
Zulkifli mengulas kenyataan Anwar, semalam yang menyatakan akan meminta Ahli Parlimen Kulim/Bandar Bahru itu memberi penjelasan berhubung beberapa kenyataan mengelirukan dalam wawancara yang disiarkan pada 26 Oktober lalu.
Malah Anwar juga mengingatkan Zulkifli untuk tidak mengeluarkan kenyataan yang bercanggah dengan pendirian parti dan manifesto pilihan raya PKR.
Mengulas mengenai istilah kekeliruan yang digunakan oleh Penasihat PKR itu, Zulkifli berkata, beliau juga ingin mengetahui apakah yang dimaksudkan dengan perkara tersebut.
Sehubungan itu beliau menegaskan, jika perjuangannya mempertahankan hak orang Islam di dalam Perlembagaan dikatakan menimbulkan kekeliruan, sudah tiba masanya PKR menyatakan dengan jelas pendiriannya berhubung agenda Islam yang akan mereka perjuangkan.
''Jika PKR begitu jelas memperjuangkan hak kaum Cina dan India dalam Perlembagaan, saya juga berhak berbuat demikian bagi orang Islam,'' katanya.
Zulkifli berkata, sebelum ini Anwar dalam pertemuan dengan beliau sudah menyatakan bahawa PKR akan mempertahankan hak orang Islam dalam kerangka Perlembagaan.
''Malah saya juga sudah menjelaskan kepada beliau bahawa tindakan saya membantah forum yang dianjurkan oleh Majlis Peguam baru-baru ini adalah atas kapasiti sebagai ahli jawatankuasa Pertubuhan Peguam Pembela Islam dan ia sama sekali tiada kaitan dengan PKR,'' katanya. ~Utusan
No comments:
Post a Comment