14 November 2008

Henti tayang Sajak Kematian - Mufti Perlis

KANGAR 13 Nov. - Tayangan Sajak Kematian yang memaparkan rakaman video keadaan mayat menerima azab dalam kubur kepada murid-murid sekolah rendah perlu dihentikan segera kerana ia boleh membawa kepada keadaan khurafat.

Mufti Perlis, Dr. Mohd. Asri Zainul Abidin berkata, penayangan rakaman yang nyata tidak benar sama sekali itu bukan pendekatan agama Islam dalam memberikan pembelajaran kepada umatnya, terutama kanak-kanak yang tidak dapat menilai baik dan buruk sesuatu perkara.

Katanya, penayangan rakaman video itu tidak membawa apa-apa faedah selain menjurus kepada keadaan khurafat terhadap umat Islam.

''Saya amat berdukacita mengenai penayangan rakaman video ini dan perbuatan ini perlu dihentikan segera.

''Ini merupakan perkara yang tidak betul (rakaman keadaan azab) dan ia perbuatan penceramah yang ingin mencari 'makan'," katanya di sini hari ini.

Beliau berkata demikian mengulas laporan media mengenai penggunaan klip video Sajak Kematian di sekolah yang memaparkan babak seksaan sakaratul maut selepas jenazah dikebumikan.

Timbul perdebatan mengenai perkara itu kerana ada pihak yang bersetuju dengan penayangannya dan ada pihak yang menolak tayangannya atas pelbagai alasan.

Sementara itu, mengulas mengenai fatwa pengharaman pengkid, Dr. Asri berkata, Majlis Fatwa perlu menyemak kembali fatwa tersebut kerana kemungkinan ada pihak termasuk beberapa pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang merasakan ada kewujudan pilih kasih dalam fatwa tersebut.

Katanya, pengharaman pengkid oleh Majlis Fatwa itu memang tindakan yang wajar tetapi pada masa yang sama, fatwa berkaitan lelaki lembut perlu dinyatakan dengan jelas agar tidak wujud keadaan pilih kasih atau double standard.

''Kita mengetahui kes lelaki lembut menyerupai perempuan lebih banyak daripada kes pengkid yang ada kalanya perlu dicari dan diselidik dengan teliti.

''Bagaimanapun, bagi kes lelaki lembut menyerupai perempuan ini saya berpendapat ia lebih ramai daripada pengkid... kalau ingin haramkan adalah lebih diharamkan kedua-duanya," jelasnya. - Utusan

No comments:

Post a Comment