20 November 2008

Gagak putih hormat azan

MELAKA: “Burung ini memang lincah dan sering buat bising, tetapi yang anehnya setiap kali azan berkumandang ia tiba-tiba saja diam seolah-olah ada sesuatu yang difahaminya,” kata seorang lelaki dari Batu Berendam, dekat sini, mengenai burung gagak putih yang ditemui rakannya dua minggu lalu.

Lelaki terbabit yang mahu dikenali sebagai Saiful, 25, berkata, burung gagak putih itu diberi seorang rakannya bernama Eddy yang menjumpainya di tepi jalan di Taman Merdeka kira-kira dua minggu lalu.

Menurutnya, semasa dijumpai, rakannya mendakwa ternampak burung gagak putih itu sedang dikerumuni sekumpulan gagak hitam.

Katanya, oleh kerana ingin mengetahui apa yang dikerumuni gagak hitam berkenaan, rakannya itu mendekati kumpulan gagak hitam terbabit dan mendapati seekor burung gagak pelik kerana berwarna putih sedang dihurungi semut selain berkeadaan lemah.

Katanya, disebabkan kasihan, rakannya terus mengambil burung berkenaan dan membawanya pulang untuk dipelihara.

“Bagaimanapun, selepas beberapa hari, rakan saya itu menghubunginya dan meminta saya memelihara burung berkenaan dengan alasan tiada masa untuk memberi makan dan saya bersetuju,” katanya kepada Harian Metro ketika ditemui di rumahnya di sini, semalam.

Sementara itu, Saiful berkata, semakin burung berkenaan membesar, warna bulunya menjadi semakin keputihan dan paruhnya pula berwarna merah jambu.

Katanya, dia sudah bertanyakan beberapa orang termasuk menghubungi pihak Zoo Melaka untuk memastikan apakah jenis burung yang dijumpai rakannya itu dan mereka memberitahunya ia burung gagak putih yang jarang ditemui.

Menurutnya, pihak Zoo Melaka turut mendakwa ia berkemungkinan sejenis spesies burung gagak albino yang memang sukar ditemui.

“Sebelum ini, memang ada orang yang mengetahui burung berkenaan berminat membelinya, tetapi saya tidak mahu menjualnya kerana bimbang ia akan disalahgunakan untuk tujuan tertentu.

“Sekiranya pihak Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) atau pihak zoo mahu mengambilnya saya lebih rela memberi kerana sekurang-kurangnya ia boleh dibela dengan sempurna malah saya juga berpeluang melihatnya pada bila-bila masa,” katanya.

Saiful berkata, spesies unggas seperti itu yang sangat jarang ditemui sememangnya menarik perhatian sesetengah orang untuk memperolehnya. - HMetro

No comments:

Post a Comment