17 November 2008

Empat mat rempit ditahan

KUALA LUMPUR 16 Nov. - Polis menahan empat penunggang motosikal yang terlibat dalam lumba haram di Jalan Taman Connought di sini awal pagi semalam.

Ketua Polis Trafik Kuala Lumpur, Asisten Komisioner A. Wahab A. Raman berkata, keempat-empat mat rempit berusia 18 hingga 25 itu bukan sahaja terlibat dengan lumba haram bahkan membuat aksi berbahaya seperti wheelie dan weekang.

"Namun kesemua mereka dibebaskan dengan jaminan polis selepas keterangan diambil dan hasil ujian air kencing juga menunjukkan mereka negatif dadah," katanya ketika dihubungi pemberita di sini hari ini.

Semalam, Ops Bersepadu Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik, Unit Risikan dan Operasi Rekod (D4), Polis Trafik Kuala Lumpur dan Jabatan Alam Sekitar mengeluarkan 217 saman kepada penunggang motosikal.

Antara kesalahan itu ialah tidak mempunyai lesen memandu, cukai jalan tamat tempoh, tiada cermin sisi dan kesalahan lain seperti nombor pendaftaran yang diubah suai.

"Dalam operasi yang bermula pukul 11 malam hingga 3 pagi ini, kita telah memeriksa kira-kira 390 buah motosikal," katanya.

No comments:

Post a Comment