13 November 2008

Caj ceramah RM8,000; MOSTI beri publik 2 minggu kemuka bukti

KUALA LUMPUR: Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi sehingga petang semalam belum menerima sebarang aduan daripada orang ramai berhubung dakwaan bahawa angkasawan negara, Datuk Dr. Sheikh Muszaphar Shukor mengenakan caj siri ceramah sehingga RM8,000 sejam.

"Hingga hari ini pihak kami masih belum terima sebarang aduan daripada orang ramai berhubung dakwaan ke atasnya (Sheikh Muszaphar)," kata Timbalan Menteri Sains Teknologi dan Inovasi, Fadillah Yusof kepada mStar Online semalam.

Pada masa yang sama beliau sekali lagi meminta supaya pihak yang mendakwa dikenakan bayaran dalam siri ceramah angkasawan negara tersebut tampil mengemukakan maklumat kepada kementeriannya bagi membantu siasatan.

Ditanya berapa lama tempoh masa yang diberikan kepada orang ramai membuat aduan berhubung isu tersebut, Fadillah berkata:

"Saya beri mereka (orang ramai) tempoh selama dua minggu untuk kemukakan bukti-bukti untuk menyokong dakwaan tersebut." Jelasnya, selepas tempoh dua minggu tersebut berakhir, pihaknya akan menganalisa bukti-bukti yang diperolehi untuk melihat sama ada tuduhan ke atas beliau (Sheikh Muszaphar) berasas atau tidak.

"Kami akan mengkaji dan menganalisa bukti-bukti yang diperolehi secara terperinci.

"Setakat ini, kami sifatkan tuduhan itu sebagai tohmahan semata-mata, kerana tiada bukti-bukti yang boleh menyokong dakwaan tersebut," katanya.

Tambah beliau, Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Datuk Maximus Ongkili akan membuat kenyataan rasmi berhubung isu tersebut setelah laporan kes itu siap sepenuhnya.

Kelmarin, Fadillah berkata orang ramai boleh mengemukakan aduan secara formal dengan menyertakan maklumat dalam bentuk seperti baucer bayaran, resit serta menyatakan berapa jumlah yang dibayar, tempat dan siapa ejennya kepada kementerian untuk siasatan selanjutnya. - Mstar

No comments:

Post a Comment