Bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Zaid Ibrahim berkata beliau kesal dan dukacita kerana tidak dapat mengotakan janji kepada bekas hakim-hakim yang dipecat sewaktu krisis kehakiman pada 1988 untuk tidak mendedahkan jumlah saguhati yang dibayar oleh kerajaan kepada mereka awal tahun ini.
Katanya, beliau selaku menteri yang bertanggunggung jawab dalam hal ehwal kehakiman dan perdana menteri telah bersetuju untuk tidak mendedahkan jumlah yang dibayar kepada hakim-hakim berkenaan atau permintaan hakim-hakim berkenaan yang dianggapnya sebagai wajar.
"Hakim-hakim berkenaan tidak pernah meminta wang ini dan tidak mahu wujud polemik pada kemudian hari dan tidak mahu mengalihkan hasrat murni ini jika perkara in ididedahkan.
"Kami kesal dan dukacita kerana kami tidak dapat mengotakan janji kami kepada hakim-hakim ini.
"Adakah ini bermakna bahawa kata-kata yang lahir dari bibir menteri kerajaan tidak lagi boleh dipandang serius?" katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Minggu lalu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Nazri Aziz mengumumkan bahawa kerajaan telah membayar saguhati sejumlah RM10.5 juta kepada enam hakim berkenaan.
Nazri memberitahu Dewan Rakyat bahawa daripada jumlah tersebut, RM5 juta telah dibayar kepada Salleh.
Selain Salleh, lima lagi penerima saguhati tersebut ialah lima bekas hakim Mahkamah Agung - Tan Sri Azmi Kamaruddin, Allahyarham Tan Sri Eusoffe Abdoolcadeer, Allahyarham Tan Sri Wan Suleiman Pawanteh, Tan Sri George Seah dan Tan Sri Hamzah Mohamed Salleh.
Wan Suleiman dan Seah masing-masing dibayar RM2 juta manakala Eusoffe, Azmi dan Hamzah, masing-masing mendapat RM500,000.
Menurut Nazri, Salleh menerima bayaran pencen bulanan sebanyak RM5,102, Seah pula menerima RM5,916, Hamzah (RM6,508), Wan Suleiman (RM4,815), Eusoffe (RM4,815) dan Azmi (RM5,916).
No comments:
Post a Comment