15 November 2008

Banglo: Arahan kerajaan Selangor bermotif politik

SHAH ALAM 14 Nov. - Tindakan kerajaan Selangor mengarahkan ahli keluarga bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pelabuhan Klang, Allahyarham Datuk Zakaria Md. Deros mengosongkan kawasan halaman banglo yang didiami mereka hanya bermotifkan politik.

Bekas Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Dr. Mohamad Khir Toyo mendakwa, arahan yang berkuat kuasa serta-merta pada Rabu lalu itu walaupun dilihat sah dari segi undang-undang, namun ia tidak ikhlas selain mahu memburuk-buruk individu tertentu termasuklah kerajaan Barisan Nasional (BN) yang mentadbir Selangor sebelum ini.

Katanya, sekiranya arahan itu dibuat kerana tanah halaman banglo tersebut dibina di atas tanah kerajaan negeri, maka arahan serta merta juga perlu dikeluarkan kepada pemilik kawasan-kawasan lain yang turut melanggar peraturan seperti pusat pengumpulan barangan lusuh, rumah ibadat serta kilang-kilang yang dibina secara haram yang kini masih belum dapat diselesaikan.

''Masa saya jadi Menteri Besar Selangor dulu, kerajaan negeri telah membenarkan pembinaan banglo di atas tapak yang sedia ada, tidak termasuk kawasan halaman.

''Malah, kami turut minta supaya pemiliknya ketika itu (Allahyarham Zakaria) menyerahkan semula tanah kawasan halaman tersebut kepada kerajaan negeri sebelum ini. Kita minta atas dasar perikemanusiaan.

''Sungguhpun begitu, isu itu tidak seharusnya ditimbulkan lagi kerana pada dasarnya ia telah pun selesai.

"Bagi saya, apa yang dilakukan oleh kerajaan negeri hari ini lebih kepada soal politik kerana mahu mendapatkan perhatian rakyat,'' katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.

Pada 12 November lalu, kerajaan negeri mengeluarkan arahan meminta keluarga Allahyarham Zakaria mengosongkan kawasan halaman banglo tersebut dalam tempoh sebulan berkuatkuasa serta merta.

Arahan yang dinyatakan oleh Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim itu dibuat kerana tanah kawasan halaman banglo berkenaan seluas 2,269 persegi dibina di atas tanah milik kerajaan negeri.

Menurut Abdul Khalid, tanah kawasan halaman banglo itu sebenarnya tidak mendapat kelulusan daripada kerajaan negeri yang mana permohonan pemilikan telah ditolak oleh Jawatankuasa Tanah Daerah pada 14 Disember 2007.

Bagaimanapun, arahan itu tidak termasuk tapak tanah banglo Allahyarham Zakaria yang siap dibina pada Oktober tahun lalu.

Dalam pada itu, Mohamad Khir yang juga ADUN Sungai Panjang turut mendakwa, tindakan kerajaan negeri yang dipimpin oleh Parti Keadilan Rakyat (PKR), DAP dan Pas itu dilakukan mungkin kerana mahu mengalihkan perhatian rakyat selain menutup kelemahan serta kegagalan mereka dalam perkara-perkara tertentu dalam mentadbir negeri Selangor.

No comments:

Post a Comment