26 November 2008

Anwar : Tiada larangan jualan alkohol ( arak ) di Selangor | Malaysiakini

Tiada larangan jualan alkohol di 7-Eleven, pasaraya dan kedai kopi di Selangor, kata Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini.

Bagaimanapun, keputusan untuk mengenakan sebarang larangan adalah sepenuhnya dalam bidangkuasa kerajaan negeri dan exco negeri, katanya kepada pemberita di Parlimen hari ini.

Beliau yang juga ahli Parlimen Permatang Pauh itu berkata ia bukan perkara untuk dibincangkan di peringkat pihak berkuasa tempatan (PBT).

"Perkara seumpama itu mesti dirujuk kepada kerajaan negeri dan ia akan dibincangkan di peringkat itu sebelum sebarang keputusan dibuat," katanya.

Prinsip asasnya, kata beliau, ialah supaya kedai-kedai berkenaan tidak dilihat seperti menggalakkan minuman alkohol terutama di kalangan generasi muda dan orang Islam.

Tetapi, katanya, tiada sebarang cadangan dari kerajaan Selangor untuk melarang sepenuhnya jualan alkohol di premis terbuka yang membabitkan orang bukan Islam.

Menurut Anwar lagi, beliau tidak ada sebarang masalah dengan dasar-dasar sekarang kerana fundamentalnya adalah jelas.

Exco negeri bincang

Bagaimanapun, beliau menambah, sebagai sebuah negara yang demokratik, mesti ada ruang untuk membuat cadangan dan perbincangan.

"Rakyat memberi pandangan dan maklumbalas dan kita mesti mendengarnya tetapi dalam aspek dasar, tidak ada sebarang masalah," katanya.

Menurut beliau, tiada apa yang harus dibimbangkan kerana dasar sekarang kekal dan "kami tidak menggalakkan umat Islam minum (alkohol) atau makan babi tetapi kita tidak akan menafikan hak orang bukan Islam untuk makan babi atau minum alkohol".

Akhbar-akhbar berbahasa Cina hari ini menyiarkan di muka depan laporan bahawa PAS Selangor bimbang dengan keadaan sekarang di mana minuman alkohol mudah didapati di kedai-kedai.

Dimaklumkan bahawa majlis-majlis perbandaran akan diberi tugas - selepas mendapat kelulusan majlis tersebut - untuk mengenakan larangan penjualan alkohol di kawasan masing-masing.

Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Abdul Khalid Ibrahim memberitahu pemberita bahawa perkara itu akan dibincangkan dalam mesyuarat exco kerajaan negeri hari ini.

* Anwar, di 7-Eleven terdapat orang Melayu (Islam) terlibat dengan pembelian dan penjualan arak. Itu kena selesaikan.

No comments:

Post a Comment