22 November 2008

Anwar sahkan temui presiden SAPP

KUALA LUMPUR, 22 NOVEMBER (SK) - KETUA UMUM Anwar Ibrahim semalam mengesahkan pertemuan beliau bersama dengan Presiden Parti Maju Sabah (SAPP) Yong Teck Lee semalam.

Ketika menemui media di Kota Kinabalu, Anwar berkata usaha untuk mempelawa SAPP, yang keluar daripada BN baru-baru ini, untuk menyertai Pakatan Rakyat sedang dibuat.

“Apa yang penting, kita mahu wujudkan pakatan pembangkang yang kuat di Sabah dan Sarawak seperti yang diperlihatkan oleh Pakatan Rakyat di semenanjung pada pilihanraya Mac lepas,” katanya semalam.

Anwar semalam berada di Sabah bagi menghadiri Program Konvensyen Negeri Sabah yang berakhir hari ini.

Pagi ini, Anwar dijadualkan memberi Ucapan Dasar bagi Konvensyen berkenaan sebelum bertolak ke Terengganu malam ini.

Ketua Pembangkang itu akan berucap di Padang Bola Rhu Rendang, Marang malam ini.

Esok, Anwar akan melancarkan kempen mansuhkan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) di Dataran Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ), Pandan Indah pada jam 9 malam.

Selain Anwar, Presiden PAS, Abdul Hadi Awang dan Penasihat DAP Lim Kit Siang turut dijadualkan berucap di majlis tersebut. - SuaraKeadilan

No comments:

Post a Comment