16 November 2008

Ancaman ke atas Obama makin meningkat

WASHINGTON 15 Nov. – Ancaman dan ugutan ke atas Barack Obama dilaporkan semakin meningkat selepas beliau diumumkan sebagai pemenang pilihan raya Presiden 4 November lalu.

Walaupun pihak perisikan Amerika Syarikat (AS) masih belum mendedahkan jumlah sebenar kes ugutan yang disiasat ketika ini, namun ia dikatakan meningkat berdasarkan ancaman melalui Internet, surat dan pelbagai bentuk ugutan lain.

Antara ancaman kepada bakal Presiden yang akan mengangkat sumpah pada 20 Januari itu ialah kemunculan sekeping poster bertulis nama Obama dan ungkapan mengenai “hukuman gantung” ke atasnya yang dilekatkan pada sebatang pokok besar di Vay, Idaho.

Sebuah pertubuhan hak asasi manusia di North Carolina pula mengadu mengenai ancaman berbaur perkauman yang ditulis pada sebuah terowong berhampiran sebuah universiti di negeri itu.

Sementara itu, sebuah kedai di Maine dilaporkan mengajak para pelanggan menyertai pertaruhan “Bila Obama akan dibunuh” yang ditampal pada dinding kedai berkenaan.

Bagaimanapun pihak perisikan AS menganggap bukan semua kes berkenaan merupakan ugutan atau tindak balas berunsur perkauman.

Menurut mereka, tindakan itu mungkin dilakukan atas dasar terlalu obses atau kerana terlalu meminati Obama. – AP

No comments:

Post a Comment