09 October 2008

Zahid ubah hati, Ali Rustam tetap tanding ~ Mstar

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi telah mengubah fikiran untuk hanya bertanding jawatan Naib Presiden Umno pada pemilihan parti Mac depan.

Beliau, sebelum ini menawarkan diri bertanding jawatan Timbalan Presiden Umno, berkata keputusan itu dibuat demi menjaga perpaduan anggota peringkat akar umbi dan kekukuhan parti serta menghormati Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Abdul Razak, yang bakal menerajui Umno.

"Saya memohon sokongan dan pencalonan daripada akar umbi dalam persidangan Umno bahagian-bahagian untuk jawatan berkenaan (Naib Presiden) sahaja.

"Saya juga ingin menyatakan sokongan dan taat setia tidak berbelah bagi saya kepada Datuk Seri Najib, yang telah diberikan kepercayaan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi untuk mengambil alih teraju kepimpinan parti sebagaimana yang telah diputuskan," katanya dalam satu kenyataan ringkas petang ini.

Ahmad Zahid, yang juga anggota Majlis Tertinggi (MT) Umno, mengucapkan terima kasih kepada semua pihak yang memahami situasi dan realiti politik semasa, yang memerlukan pengorbanan daripada seseorang demi perpaduan dan kekuatan parti.

Di IPOH, Badan Perhubungan UMNO Perak menyokong keputusan itu dan akan memberi sokongan padu kepada Ahmad Zahid.

Pengerusinya Datuk Seri Tajol Rosli Ghazali berkata UMNO Perak juga akan mengadakan satu mesyuarat khas Sabtu ini yang antara lain akan turut membincangkan mengenai sokongan terhadap calon-calon dari UMNO Perak yang telah menawarkan diri untuk bertanding jawatan tertinggi pada pemilihan parti akan datang.

Selain Ahmad Zahid, Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Datuk Hamzah Zainuddin, Timbalan Menteri Kewangan Datuk Ahmad Husni Hanadzlah, Ketua UMNO Pasir Salak Datuk Tajuddin Abdul Rahman dan Ketua UMNO Lumut Datuk Dr Zambry Abd Kadir telah menawarkan diri untuk merebut kerusi Majlis Tertinggi UMNO.

Keempat-empat mereka dilaporkan telah menerima 'lampu hijau' daripada Tajol Rosli untuk bertanding jawatan itu.

Sementara itu Naib Presiden Umno, Datuk Seri Mohd Ali Rustam ketika dihubungi berkata beliau tetap dengan pendiriannya untuk bertanding jawatan Timbalan Presiden Umno.

"Jika ada kekosongan saya akan bertanding, sekarang nampaknya memang ada kekosongan untuk jawatan itu.

"Jadi saya akan teruskan niat untuk tanding jawatan Timbalan Presiden," katanya.

No comments:

Post a Comment