22 October 2008

Syed Ali: Saya tidak takut disaman ~ Malaysiakini

Ketua Umno bahagian Cheras, Senator Datuk Syed Ali Al Hasbsee berkata, beliau akan terus bercakap untuk kepentingan orang Melayu, rakyat dan negara Malaysia.

"Seratus saman sekali pun saya akan bercakap dan saya tidak takut disaman...

"Saya akan jawab tuntutan tersebut di mahkamah dan saya sudah lantik peguam untuk kes tersebut," katanya ketika dihubungi hari ini.

syed ali al habsheeSyed Ali yang kini berada di New York berkata demikian ketika diminta mengulas tindakan pemimpin DAP, Teresa Kok menghantar surat peguam, menuntutnya menarik balik kenyataannya dalam akhbar The Star serta menuntut RM10 juta.

Ketua Umno Cheras itu didakwa membuat kenyataan tersebut ketika melancarkan 'Tabung Azan' untuk menyokong Utusan Malaysia berdepan dengan saman RM30 juta yang difailkan oleh Teresa.

Teresa mendakwa kenyataan Syed Ali berunsur fitnah yang disiarkan oleh akhbar The Star pada 13 Oktober lalu.

Teresa juga menghantar surat peguam yang sama kepada bekas pengarang kanan Utusan, Datuk Chamil Wariya berhubung sebuah cerpen nukilannya yang bertajuk 'Politik baru YB J'.

Terima surat peguam

Syed Ali dilaporkan berkata, Teresa telah mencabar maruah Melayu dengan menyaman Utusan Malaysia kerana akhbar tersebut dimiliki orang Melayu. Menurutnya, mencabar orang Melayu sama seperti mencabar Umno.

Artikel itu dilaporkan menyebut Syed Ali sebagai berkata, tindakan mempersoalkan laungan azan sama seperti mempersoalkan maruah orang Melayu dan Islam.

Dalam surat peguam tersebut, Teresa mendakwa bahawa kenyataan Syed Ali itu bermaksud beliau (Teresa), antara lain, seorang ahli politik yang yang bersikap perkauman, taksub agama, seorang tidak berintegriti, tidak boleh dipercayai, tidak bertolak ansur, anti-Islam dan anti-Melayu.

Menurut Syed Ali lagi, pejabatnya telah mengesahkan menerima surat peguam yang dihantar oleh peguam Teresa.

Katanya, ini kali pertama dalam sejarahnya berpolitik sejak berpuluh tahun lalu, beliau mendapat surat saman dari orang politik.

Bagaimanapun, katanya, sebagai orang politik, beliau mesti bersedia berdepan dengan saman seumpama itu.

"Dia (Teresa) seolah-olah bercakap sebagai seorang pejuang kebebasan tetapi apabila orang lain bercakap, dia saman.

Tuntut RM30 juta

"Berapa orang yang dia saman... Tengok (Datuk Seri) Anwar Ibrahim bercakap, tidak ada orang saman dia," katanya lagi.

Sebelum ini, Teresa telah memfailkan saman fitnah menuntut RM30 juta terhadap Utusan Melayu (M) Bhd dan kolumnisnya, Zaini Hassan berhubung satu artikel yang didakwa memfitnahnya.

Saman tersebut difailkan selepas beliau dibebaskan dari tahanan di bawah ISA selama tujuh.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Syed Hamid Albar berkata, pada masa itu, Teresa ditahan berhubung dakwaan pembabitannya dalam petisyen terhadap sebuah masjid supaya merendahkan bunyi pembesar suara ketika laungan azan.

Dakwaan tersebut dibuat dalam artikel tulisan Zaini tetapi Teresa telah menafikannya.

Utusan Melayu (M) Bhd juga telah memfailkan saman terhadap Teresa kerana didakwa memfitnah syarikat media tersebut kerana mendakwa ia telah memutarbelitkan kenyataannya mengenai makanan yang diberikan kepadanya ketika dalam tahanan ISA.

Dakwa nyawa terancam

chamil wariyaSementara itu, surat peguamnya yang dihantar kepada Chamil (foto) dan editor Utusan Malaysia adalah berhubung penyiaran cerpen bertajuk ‘Politik baru YB J’ yang diterbitkan pada 12 Oktober dalam Mingguan Malaysia.

Cerpen tersebut mengisahkan tentang seorang ahli parlimen wanita bernama Josephine yang dianggap anti-Melayu dan anti-Islam, yang akhirnya telah dibunuh.

Dalam surat tuntutannya itu, Teresa mendakwa, cerpen Chamil - yang juga ketua pegawai eksekutif Institut Akhbar Malaysia - itu sengaja ditulis untuk menggalak dan membangkitkan kebencian terhadapnya.

Teresa meminta Utusan Melayu (M) Bhd supaya menarik balik artikel tersebut dan memohon maaf.

Menurut surat peguam itu lagi, Teresa menuntut RM100 juta kerana mendakwa reputasinya tercemar dan nyawanya terancam.

Surat-surat tersebut bertarikh 17 Oktober lalu. Penerimanya diberi masa tujuh hari untuk menjawab, atau berdepan dengan tindakan undang-undang.

* Mulut sahaja kata tidak takut

No comments:

Post a Comment