Bagi pasangan yang enak dibuai cinta pastinya sambutan Aidilfitri yang akan menjelma dinanti-nantikan.
Dapat beraya bersama serta saling kunjung mengunjungi antara satu sama lain membuatkan sambutan raya lebih bererti.
Begitu jugalah perasaan yang sedang dialami oleh pasangan merpati dua sejoli ini. Umum semua sudah mengetahui akan hubungan percintaan mereka yang semakin hari semakin berbunga-bunga cinta dan hanya tinggal masa sahaja untuk disatukan.
Inilah berkat kesabaran yang dibalas oleh Yang Maha Esa pada Asmawi Ani atau Mawi setelah mengharungi pelbagai onak dan duri sepanjang bergelar anak seni.
Setelah menemui kegagalan menerusi hubungannya terdahulu inilah nikmat yang diperolehinya kini.
Percintaannya bersama Nora'asikin Rahmat atau Ekin yang pada mulanya dikecam dan ditentang itu akhirnya mula diterima ramai.
Malah Ekin juga sudah membuat pengakuan bahawa percintaan mereka akan berakhir dengan jalan cerita yang menggembirakan sekitar Disember ini.
Bagi Mawi, sambutan Aidilfitri ini lebih bererti apabila dapat menyambutnya bersama ibu dan kekasih hati tercinta kelak.
Mungkin duka Aidilfitri lalu kerana tidak lagi dapat menyambut bersama ayah tercinta sudah pun berjaya dipadam dan dikurniakan dengan sebuah kehidupan yang lebih bererti.
Jelas penyanyi berusia 27 tahun ini lagi, buat pertama kalinya dalam hidup dia akan menyambut Aidilfitri di rumah barunya di Kuala Lumpur.
Tidak menyambutnya seorang diri Mawi akan memastikan ibu tercinta akan turut serta bersamanya kelak.
“Saya akan mengambil emak sehari atau dua sebelum raya nanti. Balik ambil emak dan adik serta sempat juga saya menziarahi pusara ayah.
“Saya terpaksa beraya di Kuala Lumpur sebab saya terlibat dengan beberapa persembahan untuk hari raya kelak. Pertama kali beraya di bandar ini tak tahulah nak cakap macam mana.
“Selalu dengar cerita sahaja tentang sambutan raya di bandar tapi inilah peluang yang saya akan lalui. Teringin juga nak rasa kelainan,” katanya sambil tersenyum manis.
Menyambung perbualan, juara Akademi Fantasia musim ketiga ini berjanji akan berkunjung ke rumah keluarga kekasih hatinya.
Kurang kontroversi
Satu yang pasti terang Mawi, Aidilfitri kali ini dapat disambut dengan seribu kesyukuran.
Salah satu sebabnya luah pelantun lagu Kian ini, Syawal tahun ini dirinya tidak lagi dihambat dengan kontroversi.
“Serik rasanya apabila musim raya ada sahaja kontroversi yang menimpa saya. Kali ini, Alhamdulillah tiada lagi perkara-perkara kontroversi yang melanda. Relaks sikit kali ini dan lebih tenang. Cuma orang ramai hanya tanya pasal kahwin sahaja,” katanya yang akan merindui aktiviti bermarhaban di pagi raya kelak.
Bercerita mengenai tekanan yang diterimanya selama bergelar anak seni sambil tersenyum jelas jejaka berbintang Virgo ini berkata, dia semakin berani dan yakin dengan apa yang dilaluinya.
Mengacara bersama Ekin
Dalam pada itu, penyanyi yang dilahirkan pada 25 Ogos 1981 ini juga sedang menyimpan impian untuk menerbitkan sendiri rancangan travelognya.
Lebih menarik lagi, terang Mawi, rancangan tersebut kelak akan dikendalikan olehnya dan Ekin.
“Itu dalam perancangan. Insya-Allah jika diizinkan Tuhan akan saya realisasikannya. Berdasarkan pengalaman yang saya kutip sepanjang menjayakan program-program lalu saya yakin saya mampu menerbitkan rancangan sendiri,” jelasnya bersungguh-sungguh.
Raya lebih bermakna - Ekin
Sementara itu bagi Ekin pula, Syawal kali ini lebih bermakna kerana sudah ada teman istimewa di sampingnya yang tidak lagi perlu disorok-sorok selain keluarga tercinta.
“Seronok kali ini sebab hubungan kami pun semua orang sudah mengetahuinya. Jadi tak adalah lagi tanggapan-tanggapan negatif pada saya dan keluarga.
“Cuma mungkin juga raya kali ini orang ramai akan mula sibuk bertanyakan bilakah tarikh perkahwinan kami memandangkan Mawi sendiri kata akan mengumumkan tarikhnya selepas raya,” katanya yang semakin manis.
Menyambung perbualan terang Ekin, sambutan raya kali ini ala kadar sahaja. Namun mereka sekeluarga masih lagi mengamalkan konsep raya seperti dahulu.
Terang wanita berusia 29 tahun ini dia akan berada di kampung halamannya selama tiga minggu bagi menyambut Syawal ini. Sengaja mengusik mungkinkah tempoh cuti raya yang terlalu lama itu digunakan untuk menyediakan persiapan perkahwinan, Ekin hanya mampu tersenyum tidak menafikan atau mengiakannya.
Mengharapkan Aidilfitri ini akan meninggalkan kenangan terindah dalam diari kehidupannya Ekin berharap agar perhubungannya dengan penyanyi nombor satu lelaki negara akan berkekalan sehingga ke akhir hayat.
www.utusan.com.my
No comments:
Post a Comment