24 October 2008

Siti Syazwani mati akibat jerutan di leher - Forensik ~ Utusan

ALOR STAR 23 Okt. - Seorang pakar forensik memberitahu Mahkamah Tinggi di sini hari ini bahawa laporan bedah siasat menunjukkan mangsa bunuh dan rogol, Siti Syazwani Ahmad Dasuki, 9, mati akibat jerutan pada lehernya.

Mohd. Suhani Mohd. Noor dari Hospital Sultanah Bahiyah berkata, daripada pemeriksaan dalaman yang dilakukan, beliau mendapati pendarahan berlaku di bawah kulit kepala di bahagian hadapan sebelah kiri dan pada tepi kanan kepala mangsa.

''Saya juga mendapati ada pendarahan dalam lidah, di bahagian hadapan leher dan di bawah dagu mangsa,'' ujarnya semasa disoal oleh Timbalan Pendakwa Raya, Mohd. Azari Harun pada hari kedua perbicaraan kes bunuh dan rogol Siti Syazwani.

Sebanyak lima saksi telah dipanggil memberi keterangan sejak perbicaraan bermula pada Selasa lalu.

Tertuduh, Mohd. Bashrah Akbar yang diwakili peguam bela, Pyare Singh kelihatan tenang sewaktu mendengar keterangan saksi dan hanya menundukkan kepala.

Mengikut pertuduhan pertama, tertuduh didakwa membunuh mangsa pada 21 Disember 2004 antara pukul 2 dan 4 petang di ladang kelapa sawit Estate Tikam Batu, di sini.

Dakwaan terhadapnya mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman mati mandatori jika sabit kesalahan.

Dia turut menghadapi tuduhan kedua iaitu merogol mangsa mengikut Seksyen 376 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan sebatan jika disabitkan kesalahan.

Siti Syazwani yang dipercayai dirogol sebelum dibunuh pada 21 Disember 2004, ditemui dalam parit di ladang kelapa sawit Tikam Batu.

Mangsa yang merupakan anak bongsu daripada lima beradik, sebelum itu dilaporkan tidak pulang ke rumah selepas keluar mengaji al-Quran.

Perbicaraan di hadapan Hakim Datuk Mohd. Sofian Abd. Razak bersambung 22 Disember ini.

No comments:

Post a Comment