15 October 2008

Samira pulang selepas terlalu rindukan ibu ~ Utusan

IPOH 14 Okt.-- Samira Mohd. Noor, 16, yang dilaporkan hilang dan ponteng sekolah sejak Jumaat lalu akhirnya pulang ke pangkuan keluarganya di Kampung Sri Kinta dekat sini, hari ini.

Pelajar aliran sains tingkatan empat itu menghubungi keluarganya kira-kira pukul 2 petang setelah mendapati dirinya begitu merindui keluarga terutama ibunya, Suriah Ismail, 58.

Menurut Suriah, setelah dipujuk olehnya dan anak-anak yang lain, Samira akhirnya setuju untuk pulang ke rumah.

''Samira mahu kami mengambilnya di kompleks beli-belah Jaya Jusco dan kami terus bergegas ke sana untuk menjemputnya.

''Alhamdulillah, saya bersyukur dapat bertemu Samira di sana dan terus membawanya pulang," kata Suriah ketika ditemui pemberita di kediamannya di sini hari ini.

Akhbar hari ini melaporkan Samira tidak pulang ke rumah sejak Jumaat lalu selepas ponteng dari sekolah walaupun sebelum itu dilihat sedang bersiap-siap untuk pergi ke sekolah.

Suriah berkata, dia sekeluarga turut membuat Solat Hajat dan memohon kepada Tuhan supaya Samira kembali ke pangkuan keluarga.

''Kami semua sayangkan Samira kerana dia anak yang pandai. Kami mahu dia berjaya dalam pelajaran," katanya.

Sementara itu, Samira ketika ditemui berkata, faktor yang mendorongnya ponteng sekolah pada Jumaat lalu adalah kerana terdapat perselisihan faham dengan rakan-rakan di sekolah.

Bagaimanapun, katanya, selepas ponteng sekolah dia berasa bersalah dan takut untuk pulang ke rumah lalu mengambil keputusan untuk menumpang di rumah rakannya.

''Selepas tiga hari tidak pulang tiba-tiba saya berasa terlalu rindu dengan keluarga terutama emak dan terus mahu pulang ke rumah.

''Saya menyesal dengan apa yang berlaku dan berjanji tidak akan mengulanginya lagi. Saya akan teruskan pelajaran seperti biasa,'' katanya.

No comments:

Post a Comment