KUALA LUMPUR, 13 Okt (Bernama) -- Program Rumah Terbuka Malaysia yang diadakan sempena perayaan kaum-kaum di negara ini akan dikaji semula dari segi keselamatan.
Menteri Perpaduan, Kebudayaan, Kesenian dan Warisan Datuk Seri Mohd Shafie Apdal berkata perkara itu telah dibincangkan pada mesyuarat Jemaah Menteri.
"Perkara itu patut dikaji semula dengan melibatkan konteks keselamatan," katanya kepada pemberita semasa menghadiri Rumah Terbuka Aidilfitri kementerian itu di Kompleks Kraftangan, di sini, Isnin.
Beliau berkata kekecohan yang berlaku ketika rumah terbuka Aidilfitri Perdana Menteri dan Menteri Kabinet beragama Islam di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) itu sepatutnya boleh dielak jika tidak berlaku kelalaian dari segi keselamatan dan kehadiran pihak yang menimbulkan suasana tidak baik.
"Rumah terbuka adalah sambutan perayaan untuk makan dan menjamu selera, sesetengah pihak tidak patut melakukan sesuatu perkara yang berhubung kait dengan (keselamatan) negara terutama ia dihadiri pemimpin negara termasuk Perdana Menteri," katanya.
Sebelum ini Bernama melaporkan Menteri Penerangan Datuk Ahmad Shabery Cheek mencadangkan agar program Rumah Terbuka Malaysia yang diadakan sempena perayaan kaum-kaum di negara ini dikaji semula.
Pada 1 Okt lepas, sekumpulan penyokong Hindraf berpakaian kemeja-T jingga beratur seawal pukul 11 pagi bersama ribuan pengunjung lain untuk bersalam dan menyerahkan patung beruang dan kad ucapan Hari Raya yang didakwa mengandungi 300 tandatangan mendesak pembebasan pemimpin Hindraf yang sedang menjalani tahanan mengikut Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA).
Sementara itu, Mohd Shafie mengumumkan pelantikan anggota Parlimen Muar Razali Ibrahim sebagai Pengerusi Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas) yang baru dan Datuk Seri Salleh Tun Said Keruak sebagai Pengerusi Perbadanan Kemajuan Kraftangan Malaysia.
Pelantikan mereka berkuatkuasa bulan lepas.
No comments:
Post a Comment