17 October 2008

Polis Cari Maklumat Baru Kes Penculikan Dua Kanak-kanak ~ Bernama

KUALA LUMPUR, 17 Okt (Bernama) -- Walaupun polis telah melakukan pelbagai usaha bagi menyelesaikan kes penculikan Nurin Jazlin Jazimin dan Sharlinie Mohd Nahar, namun siasatan mereka belum membuahkan hasil.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Persekutuan Datuk Bakri Zinin berkata polis amat kecewa kerana tidak terdapat petunjuk baru tentang kes itu.

"Sejak mula lagi, penyiasat (polis) bertungkus-lumus mencari maklumat mengenainya dengan melakukan pelbagai usaha.

"Orang ramai selalu bercakap tentang keberkesanan polis dalam menyelesaikan kes culik.

"Apabila keburukan menimpa seseorang yang dilaporkan hilang atau orang yang hilang itu tidak dapat dikesan, seperti dalam kes yang disebutkan tadi, mereka akan membuat pelbagai andaian dan kritikan," katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata kehilangan Sharlinie sama dengan kes Madeleine McCann, seorang kanak-kanak perempuan British, yang hilang di Portugal pada Mei tahun lepas semasa bercuti bersama keluarganya. Kehilangan kanak-kanak itu terus menjadi tanda tanya, walaupun pelbagai ikhtiar dilakukan pihak berkuasa untuk mencarinya.

"Begitu jugalah dengan kes kehilangan Nurin Jazlin dan Sharlinie. Kami tidak akan patah semangat untuk menyelesaikan kes ini dan memberi semangat kepada keluarga berkenaan untuk meneruskan kehidupan mereka," kata Bakri.

Nurin Jazlin, 8, dilaporkan hilang pada malam 20 Ogos tahun lepas setelah pergi ke pasar malam berhampiran rumahnya di Wangsa Maju.

Hampir sebulan kemudian, mayatnya dijumpai di dalam sebuah beg sukan yang ditinggalkan di depan sebuah lot kedai di Petaling Jaya.

Sharlinie, 5, pula dilaporkan hilang pada 9 Jan tahun ini selepas bermain dengan kakaknya di sebuah padang permainan kira-kira 200 meter dari rumahnya di Taman Medan, Petaling Jaya.

-- BERNAMA

* Jadilah polis baik

No comments:

Post a Comment