11 October 2008

Petrol mungkin kembali RM1.92 seliter ~ Utusan

JOHOR BAHRU 10 Okt. – Dengan harga minyak dunia kini turun kepada AS$82 (RM287) setong, kerajaan membayangkan harga petrol di negara ini dapat kembali dijual pada harga RM1.92 seliter seperti dua tahun lepas jika harga minyak global jatuh di bawah AS$72 (RM252) setong.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Shahrir Abdul Samad berkata, fenomena itu dijangka berlaku jika permintaan minyak mentah di pasaran dunia menurun dan tercetus kemelesetan ekonomi dunia.

“Kalau kita mahu menikmati semula harga petrol RM1.92 seliter, maka harga minyak dunia perlu turun mencecah AS$72 setong.

“Harga minyak dunia semakin menurun dan penurunan harga boleh berlaku sekiranya kurang permintaan di negara maju seperti Jepun, Eropah dan Amerika Syarikat (AS),” katanya pada sidang akhbar selepas merasmikan penaiktarafan kilang zip, YKK (M) Sdn. Bhd., yang bernilai RM6.4 juta di Larkin di sini hari ini.

Hadir sama pada majlis berkenaan ialah Pengarah Urusan YKK, Sakato Nagasaki.

Penurunan kali terakhir harga petrol dan diesel di negara ini ialah pada 24 September lalu dengan harga minyak petrol jenis RON 97 turun kepada RM2.45 seliter, RON 92 kepada RM2.30 seliter, manakala diesel kepada RM2.40 seliter.

Sebelum itu, harga petrol ialah RM2.70 seliter manakala diesel RM2.58 seliter.

Menurut Shahrir, penurunan harga minyak oleh kerajaan dibuat berpandukan fakta mengikut kadar pertukaran ringgit dengan dolar AS.

Jelasnya, jika nilai ringgit meningkat berbanding dolar maka harga minyak akan dapat diturunkan ke paras yang lebih rendah.

Katanya, keputusan mengenai penurunan harga minyak akan diketahui pada mesyuarat kabinet akhir bulan ini.

Sementara itu, Shahrir memberitahu, bukan kesemua barang keperluan di negara ini dapat dikawal harganya kerana ketiadaan mekanisme harga.

Contoh, terbaik, katanya, ialah santan kelapa.

“Santan tidak boleh dikawal kerana kita tidak tahu sukatan kepekatannya. Ada permintaan santan pekat dan santan cair, ini perkara logik yang harus difahami pengguna,” katanya.

Bagaimanapun, jelas beliau, kerajaan mengawal harga kelapa parut yang termasuk dalam 17 barangan kawalan pada musim perayaan.

Menurutnya, sebanyak 600,000 biji kelapa dari Indonesia telah diimport menerusi FAMA pada musim Hari Raya Aidilfitri lalu bagi membantu mengawal harga santan.

Shahrir menjangkakan tiada masalah permintaan akan berlaku pada perayaan Deepavali hujung bulan ini.

No comments:

Post a Comment