MANILA 14 Okt. – Mahkamah Agung Filipina memutuskan, persetujuan kerajaan untuk memberi kuasa autonomi kepada pejuang pemisah di Mindanao, adalah tidak sah.
Mahkamah Agung dengan pengundian 8-7 memutuskan, persetujuan itu telah “melanggar perlembagaan”.
Keputusan mahkamah itu sekali gus menamatkan perbahasan selama berminggu-minggu mengenai keputusan kerajaan tersebut.
Pada Ogos lalu, mahkamah itu telah membatalkan perjanjian damai yang memberi kuasa autonomi kepada Barisan Pembebasan Islam Moro (MILF) untuk mengawal 700 bandar dan perkampungan di Mindanao.
Perjanjian mengenai tanah pusaka yang dituntut oleh MILF merupakan kunci kepada usaha kerajaan untuk menamatkan krisis politik dengan kumpulan itu.
Pegawai kerajaan di Mindanao mendakwa, kerajaan gagal memberi penerangan kepada masyarakat mengenai isu sebenar sehingga mereka mengadakan bantahan umum.
Pada masa sama, komander-komander MILF yang marah dengan perkembangan itu, telah melancarkan siri serangan, menyebabkan 60 penduduk terbunuh dan lebih 500,000 lagi terpaksa berpindah.
No comments:
Post a Comment