20 October 2008

Penulis blog teringin sertai MT ~ Malaysiakini

Penulis blog yang kritikal pada perdana menteri, Datuk Ruhanie Ahmad menawarkan diri bertanding anggota Majlis Tertinggi (MT) walaupun mesyuarat bahagian telah bermula lebih seminggu.

Seseorang calon majlis itu harus mendapat sokongan 10 bahagian dalam tempoh mesyuarat bahagian di seluruh negara, yang dijadual tamat 9 November ini.

Ruhanie hanya membuat keputusan itu Jumaat lepas selepas lama menimbangkan dorongan ramai, khususnya setelah kemerosotan BN dan konflik dalaman Umno sejak pilihanraya umum, Mac lepas.

Bekas ahli parlimen Parit Sulong, yang tidak lagi memegang jawatan dalam Umno sejak 2004, berkata beliau mendapat sokongan daripada ketua-ketua bahagian di beberapa negeri seperti Johor, Selangor, Kedah dan Terengganu, selain penulis-penulis blog.

"Bukan desakan, tetapi dorongan (supaya bertanding) daripada akar umbi, komuniti Internet, ketua-ketua bahagian, pelayar Internet," kata Ruhanie kepada Malaysiakini hari ini.

Ruhanie, yang juga bekas pengerusi Kelab Penyokong Barisan Nasional di Dewan Rakyat, menambah suaranya yang lantang mempertikaikan kepemimpinan Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi dibuat sebagai mewakili ahli-ahli akar umbi Umno.

Beliau yang mendakwa "sangat intim" dengan akar umbi berkata: "Saya cuma menyampaikan pandangan mereka."

Tambahnya, Umno memerlukan perubahan strategik dan komprehensif termasuklah mentaliti, semangat dan tindakan ahli kerana "tanggapan rakyat menganggap Umno tidak lagi relevan".

Parti dominan dalam BN itu juga dituntut menghentikan permainan politik dan mengelakkan sindrom sangkalan.

"Tan Sri Muhyiddin Yassin (contohnya) digambarkan sebagai pengacau.

"Sedangkan apa yang beliau cakap daripada jiwanya. Kita memerlukan perubahan yang konsisten dan bijaksana. Kita boleh tegur bila-bila masa dan pimpinan kena terima," katanya, merujuk kenyataan terbaru naib presiden itu yang menganggap tempoh berkempen sehingga pemilihan Mac depan "terlalu panjang."

Kenyataannya itu dianggap cuba mendesak Abdullah melepaskan jawatan lebih awal daripada rancangan asal - tahun depan.

Muhyiddin bagaimanapun dilaporkan menafikan beliau bermaksud menyegerakan lagi pelan penyerahkan kuasa presiden Umno kepada timbalannya Datuk Seri Najib Razak, regu utama Muhyiddin yang kini bersaing jawatan nombor dua.

Ruhanie berkata beliau positif peluangnya cerah untuk terpilih sebagai anggota MT, buat pertama kali, memandangkan proses pencalonan bahagian "masih di peringkat awal".

"Ia bergantung kepada keikhlasan kita, sekarang baru 80 bahagian bermesyuarat. Semua, Umno ada 191 bahagian," katanya.

Ditanya sama ada sikapnya yang kritikal, terutama tulisan-tulisan di blognya boleh menghalangnya untuk diterima perwakilan, beliau berkata:

"Terserahlah. Mungkin sesetengah tidak suka (pandangan saya).

"Tidak suka tidak semestinya tidak betul. Kalau tidak betul pun tidak betul secara politiknya sahaja," kata Ruhanie.

Menulis di blognya Kuda Kepang hujung minggu lalu, beliau berkata:

"Dalam pertndingan ini, saya tetap dengan pendirian dan prinsip tidak akan sekali-kali mengamalkan politik wang. Kalau prinsip dan pendirian boleh diterima oleh seluruh warga Umno, calonkanlah saya dengan seikhlas-ikhlasnya.

"Saya tidak mempunyai apa-apa manifesto. Tetapi, saya akan sentiasa memperjuangkan idealisme perjuangan agama, bangsa dan tanahair secara konsisten, ikhlas dan jujur.

"Ini termasuklah perjuangan mempertahankan kedaulatan negara dalam konteks Wilayah Iskandar dan Pulau Batu Puteh."

No comments:

Post a Comment