21 October 2008

Penerbitan Malaysiakini Bergantung Pada Laporan Siasatan Polis, Kata Syed Hamid ~ Bernama

PUTRAJAYA, 21 Okt (Bernama) -- Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Syed Hamid Albar berkata siasatan polis berkaitan laporan Malaysiakini yang mengelirukan membabitkan Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak hanya boleh dilakukan jika ada laporan polis terhadap portal berita itu.

Beliau berkata jika Malaysiakini memohon maaf kepada Timbalan Perdana Menteri masih tidak mencukupi kerana mana-mana media di negara ini hendaklah sentiasa bertanggungjawab dengan penerbitan mereka.

"Jika anda sering memuatkan laporan palsu, dan anda minta maaf, itu tidak baik...saya fikir media hendaklah memikul tanggungjawab bersama dengan apa yang mereka lakukan dan laporan itu mestilah tepat," katanya kepada pemberita mengenai isu pada majlis sambutan Hari Raya Aidilfitri Jabatan Imigresen di sini, Selasa.

Berita portal Internet Malaysiakini pada Ahad lepas menyiarkan satu artikel kononnya daripada sebuah "Kumpulan Sokongan Najib" mengandungi apa yang dipanggil manifesto yang kononnya ada kaitan dengan Najib dalam pemilihan jawatan Umno.

Semalam, Pejabat Timbalan Perdana Menteri mengeluarkan kenyataan menafikan bahawa Najib telah mengeluarkan manifesto itu dan laporan Malaysiakini tersebutu adalah "semata-mata palsu dan mengelirukan".

Sementara itu Timbalan Menteri Dalam Negeri Datuk Wan Ahmad Farid Wan Salleh berkata kementerian tersebut tidak akan mengeluarkan sebarang surat amaran kepada portal berita berkenan berkaitan isu itu, oleh kerana Malaysiakini bukanlah satu media formal yang memerlukan lesen penerbitan.

Ditanya sama ada kementerian itu akan bekerjasama dengan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) mengenai isu tersebut, katanya asas kini ialah sama ada laporan polis telah dibuat, dan barulah tindakan selanjutnya akan dilakukan.

Beliau juga berkata, apa yang membimbangkan mengenai isu itu ialah jenis laporan yang diamalkan.

"Sama ada dipanggil media arus perdana, atau media alternatif, pada asasnya adalah sama, iaitu kewartawanan bertanggungjawab. Dan kewartawanan bertanggungjawab merencanakan bahawa anda mesti mendapatkan pengesahan sebelum anda menyiarkanya...Ini tidak ada," kata beliau.

-- BERNAMA

No comments:

Post a Comment