30 October 2008

Nazri Beri Jaminan Dapatkan Jumlah Sebenar Bayaran Ex-gratia Enam Bekas Hakim

KUALA LUMPUR, 29 Okt (Bernama) -- Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Nazri Aziz memberi jaminan akan mendapatkan maklumat terperinci mengenai jumlah sebenar pembayaran ex-gratia kepada enam bekas hakim yang dipecat pada 1988.

Beliau berkata jumlah itu yang tidak diumumkan sebelum ini kerana menghormati kehendak keluarga yang menerima pembayaran itu bukan saja ingin diketahui oleh pembangkang malah wakil kerajaan dalam Dewan Rakyat.

"Saya percaya perkara ini sudah tentu menarik perhatian daripada Ahli Parlimen dan saya akan berusaha mendapatkan jawapannya secepat mungkin. Saya juga semak ucapan saya hari ini, tak ada jawapan berkenaan berapa jumlah yang dibayar.

"Kalau saya tak tahu saya cakap tak tahu, saya tak boleh mengambil satu jumlah daripada angin dan mengatakan itu sebagai jawapan kerana saya akan menipu dewan," katanya ketika menggulung perbahasan Rang Undang-undang Perbekalan 2009 bagi kementeriannya pada persidangan Dewan Rakyat di sini hari ini.

Nazri, yang baru mengambilalih portfolio perundangan, berkata beliau tidak mengetahui butiran lengkap mengenai jumlah pembayaran itu kerana pengiraan dibuat oleh Setiausaha Kabinet dan bahagian pencen.

Biarpun diasak beberapa wakil pembangkang yang membangkitkan perkara berkenaan seperti dari Ipoh Timur, Pokok Sena, Subang, Kubang Kerian, Balik Pulau dan Wangsa Maju, beliau tetap dengan jawapannya.

Malah beliau turut menyuruh Wee Choo Keong (PKR-Wangsa Maju) agar mencadangkan kepada Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi supaya memecatnya kerana tidak tahu jawapan kepada soalan itu.

Pembayaran ex-gratia berkenaan diumumkan Abdullah April lepas sebagai menghargai sumbangan besar kepada bekas hakim yang dipecat dalam krisis kehakiman bagi memulihkan semula kewibawaan badan kehakiman yang tercemar sejak 20 tahun lalu.

Bekas hakim itu ialah bekas Ketua Hakim Negara ketika itu Tun Salleh Abas dan bekas hakim-hakim Mahkamah Agung semasa itu Tan Sri Azmi Kamaruddin, Tan Sri George Edward Seah Kim Seng, Tan Sri Wan Hamzah Mohd Salleh, Allahyarham Tan Sri Eusoffe Abdolcadeer dan Allahyarham Tan Sri Wan Suleiman Pawanteh.

Nazri juga berkata kerajaan berharap Rang Undang-undang Suruhanjaya Pencegahan Rasuah dan Suruhanjaya Pelantikan Hakim dapat diluluskan sebelum Mac tahun depan.

"Kita dah lihat kedua-dua draf undang-undang itu dan pada akhir bulan ini akan dibentangkan lagi," katanya.

Beliau juga memberi jaminan kakitangan yang berkhidmat dalam badan-badan berkaitan perundangan dan kehakiman akan terdiri daripada pelbagai kaum.

Mengenai pelantikan Ketua Hakim Negara yang baru Tan Sri Zaki Tun Azmi, beliau berkata pelantikan itu adalah berdasarkan merit dan Azmi memenuhi kriteria yang diperakui pegawai mahkamah dan komuniti guaman ketika bertugas di Mahkamah Rayuan.

Sementara itu, beliau berkata penubuhan Suruhanjaya Bebas Aduan dan Salah Laku Polis (IPCMC) tidak akan dilaksanakan kerana mendapat bantahan daripada beberapa pihak.

Terdahulu semasa menyentuh mengenai hak orang Melayu dan Bumiputera seperti yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan, Nazri berkata kerajaan tidak berhasrat untuk mengubahnya.

"Perkara 153 Perlembagaan Persekutuan yang memperuntukkan hak-hak keistimewaan orang Melayu dan Bumiputera merupakan perkara penting yang telah mendasari pembangunan dan pentadbiran negara selama ini dan telah terbukti dapat menjamin kestabilan sosial dan keamanan negara.

"Kerajaan selama ini telah memastikan bahawa peruntukan-peruntukan dalam Pekara 153 tetap diberi keutamaan dalam proses penggubalan undang-undang dan dasar serta pelaksanaan program-program kerajaan," katanya ketika menjawab saranan Datuk Ibrahim Ali (Bebas-Pasir Mas) untuk kerajaan mewujudkan sebuah jawatankuasa di peringkat pusat dan negeri bagi memastikan Perlembagaan Persekutuan dapat dilaksanakan dengan efektif.

Ketika menjawab soalan N. Gobalakrishnan (PKR-Padang Serai) mengenai Hindraf, Nazri berkata tindakan yang diambil terhadap pertubuhan itu bukan atas desakan Perdana Menteri.

"Tindakan yang diambil terhadap Hindraf bukan kerana Perdana Menteri tertekan. Tindakan yang kita ambil itu adalah sebab kepentingan ramai. Kita ambil (ISA) kerana bimbang potensi untuk berlaku satu perkara yang lebih besar yang boleh menjejaskan masyarakat.

"Tidak ada sebab kerajaan yang dipilih oleh rakyat yang berbilang kaum mengambil tindakan untuk menindas kaum yang menyokongnya," kata beliau. ~Utusan

* Lepas tahu diam tidak mengapa

No comments:

Post a Comment