09 October 2008

Muhyiddin minta semua bahagian calon Najib ~ Malaysiakini

Naib Presiden Umno Tan Sri Muhyiddin Yassin meminta semua bahagian Umno supaya memberi pencalonan 100 peratus kepada Datuk Seri Najib Tun Razak sebagai presiden parti bagi menggantikan Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi yang tidak akan mempertahankan jawatan itu dalam pemilihan parti Mac depan.

Katanya, beliau membuat gesaan tersebut bagi bagi memastikan peralihan kuasa yang telah ditetapkan sebelum ini, berjalan lancar.

Beliau memberitahu pemberita demikian di majlis rumah terbuka Aidilfitri Timbalan Ketua Umno Bahagian Bachok Datuk Dr Illias Husin di Kampung Kuchelong di Bachok hari ini.

Muhyiddin, yang diramal bertanding jawatan Timbalan Presiden, bagaimanapun enggan mengesahkannya walaupun didesak oleh wartawan, demikian menurut Bernama.

Katanya beliau akan membuat pengumuman esok "bagi mengambil berkat Jumaat".

"Kena ikut tertib. Semalam perdana menteri buat keputusan, hari ini saya dimaklumkan Datuk Seri Najib akan buat pengumuman, wajarnya saya tunggu giliran lepas itu," katanya.

Mengulas kenyataan ahli Parlimen Gua Musang Tengku Razaleigh Hamzah yang tetap mahu bertanding jawatan presiden Umno walaupun pelan peralihan kuasa dipercepatkan ke Mac depan dari Jun 2010, Muhyiddin berkata tiada halangan untuk Tengku Razaleigh berbuat demikian.

"Bagaimanapun kita serahkan kepada kebijaksanaan dia sebagai orang lama dan berpengalaman dalam parti. Saya fikir saya tak layak menasihati beliau, saya juga menghomati beliau, tapi saya fikir beliau akan mengambil kira semua perkara selepas keputusan Perdana Menteri semalam, yang berharap timbalannya (Najib) akan jadi pengganti.

"Tetapi ini tidak bermakna kita tak benarkan sesiapa bertanding, sesiapa saja yang berhasrat menawarkan diri, dia boleh bertanding, dia ada hak untuk bertanding, tapi akhirnya terserahlah kepada perwakilan yang akan buat keputusan," katanya.

Muhyiddin, yang juga Pengerusi Jawatankuasa Peraturan dan Perlembagaan Umno, mengingatkan semua bahagian yang akan bersidang mulai esok supaya mengelak insiden yang boleh mencemar nama baik parti.

"Umno parti teras dalam negara yang perlu terus dipelihara. Peranan Umno besar, pemilihan kali ini bukan hanya memberi peluang memperbaiki kedudukan dalam parti tetapi juga untuk tingkatkan semula imej parti," katanya.

Melaka calon Najib

Sementara itu, Bernama juga melaporkan, Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Mohd Ali Rustam berkata, kesemua enam bahagian Umno di Melaka yang akan memulakan mesyuarat Ahad ini akan mencalonkan Najib bagi jawatan presiden Umno.

Beliau yang juga pengerusi badan perhubungan Umno Melaka berkata, kesemua bahagian bersetuju mencalonkan Najib selepas Perdana Menteri yang juga Presiden parti Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi mengumumkan tidak mempertahankan jawatan tersebut.

"Umno Melaka akan bekerjasama dan berdiri teguh di belakang Najib untuk memastikan kemenangannya (Najib)," katanya kepada pemberita di Melaka hari ini.

Najib hari ini mengumumkan beliau menawarkan diri bertanding jawatan pesiden Umno.

Umno Bahagian Kota Melaka akan mengadakan mesyuaratnya pada Ahad ini, diikuti Masjid Tanah, Alor Gajah dan Bukit Katil masing-masing pada 19 Oktober manakala Tangga Batu dan Jasin dijadualkan pada 25 Oktober.

Mengenai hasratnya untuk bertanding jawatan timbalan presiden, Mohd Ali, yang kini naib presiden Umno, berkata jawatan itu kosong dan dengan itu beliau menawarkan diri untuk bertanding.

Katanya beliau mahu membantu presiden untuk meneruskan kesinambungan dasar dan perancangan bagi membangunkan rakyat dan negara.

"Dasar yang diperkenalkan Najib iaitu "One Malaysia" dijangka dapat memulihkan keyakinan dan kepercayaan rakyat terhadap parti dan kerajaan Barisan Nasional," katanya.

Beliau berkata tumpuan dalam bidang lain terutama ekonomi dan kemiskinan wajar diberi perhatian segera untuk mengatasinya.

No comments:

Post a Comment