09 October 2008

Mahkamah Persekutuan AS bebas 17 etnik Islam Uighurs ~ Utusan

WASHINGTON 8 Okt. – Seorang Hakim Mahkamah Persekutuan Amerika Syarikat (AS) semalam mengarahkan supaya 17 etnik Islam Uighurs dari China yang ditahan di penjara Guantanamo, Cuba, dibebaskan dan dibenar masuk ke negara ini.

Hakim Ricardo Urbina memerintahkan supaya kesemua tahanan itu dibawa ke hadapannya di mahkamah pada Jumaat ini untuk diperkenalkan kepada beberapa keluarga daripada etnik Uighurs yang akan menjaga mereka kelak.

Beliau turut menetapkan 16 Oktober ini untuk menentukan peraturan yang boleh digunakan bagi membenarkan mereka tinggal di negara ini dan jenis status yang hendak diberikan.

Ini merupakan kali pertama mahkamah mengeluarkan perintah supaya tahanan di bawah kempen “memerangi keganasan” dibebaskan dan dibenarkan masuk ke negara ini.

Berikutan itu, pentadbiran Presiden George W. Bush berkata, ia akan memfailkan rayuan berhubung keputusan mahkamah tersebut.

Kerajaan pada awal tahun ini telah mengisytiharkan kesemua 17 etnik Uighurs bukan lagi ancaman, tetapi mengekalkan penahanan mereka di Teluk Guantanamo jika tidak ada negara yang sudi menerima mereka. - AFP

No comments:

Post a Comment