PETALING JAYA: Ketika gejala politik dalam pemilihan Umno hangat diperkatakan, bekas Perdana Menteri Tun Dr. Mahathir Mohamad hari ini mendakwa berdasarkan perkembangan semasa setiap perwakilan mampu memperoleh sehingg RM20,000.
Sambil menekankan amalan rasuah dalam UMNO di semua peringkat sudah menjadi buah mulut orang ramai, Dr. Mahathir berkata: "Kata orang melihat kepada jawatan-jawatan yang dipertandingkan tiap seorang wakil boleh dapat hingga RM20,000."
"Ada yang berpendapat tidak apa menerima sogokan tetapi tidak semestinya mengundi penyogok.
"Jangan percaya iman penerima begitu kuat sehingga tidak merasa terhutang budi. Lagipun duit yang diterima adalah duit haram. Yang menerima akan menanggung dosa," kata beliau yang mengulas isu yang sama buat kali kedua dalam seminggu menerusi blognya.
JAWATAN DITENDER
Semalam, Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, Lembaga Disiplin Umno akan mengumumkan beberapa tindakan yang akan diambil berhubung politik wang, dalam masa terdekat ini.
Beliau yang kini merupakan calon tunggal untuk jawatan Presiden Umno berkata, parti itu telah menyerahkan mandat kepada jawatankuasa yang dipengerusikan Tengku Tan Sri Ahmad Rithauddeen Ismail itu untuk mengambil tindakan sewajarnya terhadap mereka yang didapati mengamalkan politik wang.
Baru-baru ini, anggota Majlis Tertinggi Datuk Seri Dr. Rais Yatim mengesyorkan supaya semua jawatan tertinggi parti Umno dipertandingkan secara "tender" kerana muak dengan gejala politik wang yang didakwa berlaku semasa pemilihan bahagian.
Justeru, dengan sinis Dr. Mahathir, bekas Presiden Umno, yang pernah menyentuh mengenai gejala politik wang dalam perhimpunan-perhimpunan agung Umno sebelum bersara berkata:
"Terimalah. Pedulikan jika semua orang tahu. Apa salahnya. Dosa, dosalah."
"Tetapi seperti disebut apabila pengundi pilihan raya umum sudah benci dan bosan dengan Umno mereka akan undi parti lawan untuk kalahkan Umno.
"Selepas kalah tidak ada lagi jawatan Perdana Menteri, Menteri dan lain-lain. Tidak akan ada lagi kontrak, AP dan lesen.Tidak akan ada lagi nikmat! Semua pihak akan merana, akan dihina oleh orang," katanya.
BANYAK LAPORAN
Dr. Mahathir berkata, beliau menerima banyak laporan berkenaan dengan politik wang dalam Umno.
"Demikianlah keadaan sehingga Datuk Seri Dr. Rais Yatim mencadang secara sinis supaya jawatan-jawatan Majlis Tertinggi ditender.
"Datuk Seri Shahidan Kassim amat marah dan akan tender sebanyak RM1 untuk Rais. Bila makan cili rasa pedas," katanya.
Sambil menambah beliau diberitahu wang banyak digunakan Dr. Mahathir menjelaskan, pada masa lalu cuma ketua-ketua Pemuda bahagian sahaja dapat.
"Ini menyebabkan pemegang jawatan lain dalam pergerakan enggan bekerjasama. Sekarang semua mendapat sogokan dan hasilnya amat memuaskan bagi penyogok.
"Ketua-ketua Bahagian dan ahli jawatankuasa juga dijemput ke Kuala Lumpur untuk berjumpa orang tertentu.
"Mereka di arah supaya mencalonkan orang-orang tertentu untuk Timbalan Presiden, Naib Presiden dan ahli Majlis Tertinggi. Juga pencalonan Ketua Pemuda. Berkesan atau tidak akan kita lihat daripada pencalonan yang dibuat," katanya.
Kini, kata beliau, cawangan dan ahli biasa pun sudah pandai.
MENAWARKAN SOKONGAN
"Mereka menawarkan sokongan mereka jika sekian-sekian banyak dihulur," katanya lagi.
Malah katanya, mereka yang menang boleh jadi Yang Berhormat, ahli Exco, Menteri, Timbalan Menteri, Setiausaha Parlimen, pengerusi syarikat-syarikat Kerajaan dan juga dapat kontrak berjuta Ringgit.
"Ahli biasa yang memberi sokongan dengan undi mereka dapat apa? Dengan kesedaran akan soal ini maka penyokong dan pengundi pula berpendapat mereka juga harus dapat nikmat daripada pemberian undi mereka.
"Maka mereka akan menunggu sogokan sebelum memberi undi mereka," katanya.
Dr. Mahathir menambah, orang ramai sudah jelek dan muak "dengan Umno, orang UMNO dan pemimpin UMNO."
"Perasaan benci kepada Umno sebagai parti yang tidak bermoral merebak ke merata-rata tempat," katanya.
No comments:
Post a Comment