12 October 2008

Lagak pembangkang melucukan ~ Utusan

KUALA LUMPUR 11 Okt. - Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi berkata, kelakuan parti pembangkang yang berlagak seolah-olah sudah memenangi Pilihan Raya Umum Ke-12 yang lalu 'sangat melucukan.'

Dalam nada sinis Perdana Menteri berkata, parti yang berjaya menubuhkan kerajaan di peringkat Pusat pula sebaliknya merasakan seperti telah kalah dan kedua-dua situasi itu membuatkannya merasa sedih dan ada ketikanya melucukan.

''Kadang-kadang saya rasa sedih dan kadang-kadang saya rasa lucu tetapi rasa lucu itu melebihi rasa sedih.

''Parti yang kalah, yang tak dapat tubuh kerajaan di peringkat Pusat berlagak macam mereka dah menang dan kita yang menang pula berkelakuan seolah kita kalah.

''Itulah yang melucukan dan juga yang menyedihkan. Kita seolah terlupa yang kita sebenarnya memenangi pilihan raya," katanya ketika berucap merasmikan Persidangan Perwakilan Parti Gerakan Nasional Ke-37 di sini hari ini.

Abdullah yang juga Pengerusi BN berkata, ramai sahabat dan pemimpin dari luar negara bertanyakan kepada beliau mengapa soal kegagalan mendapat kemenangan majoriti dua pertiga terlalu dipersoalkan.

Katanya, pada mereka yang di luar negara, kemenangan BN yang hanya kurang lapan kerusi sahaja lagi untuk mendapatkan majoriti dua pertiga sudah merupakan satu kemenangan yang terlalu besar.

''Itu kata mereka, tapi tak apalah, cakap orang lain. Cakap kita... perasaan kita pula lain. Walau apa pun berlaku hari ini kita perlu sedar bahawa kekalahan itu satu peringatan bahawa kita perlu perbaiki diri dan apa juga yang jadi kebencian kepada rakyat, kita perlu elak.

''Jangan ada keangkuhan kerana kuasa. Jangan lupa kepada rakyat kerana terlalu ghairah dengan kemenangan besar, banyak lagi jangan, jangan dan jangan yang perlu diingat," jelasnya.

Abdullah menambah, sebagai parti yang menang pada pilihan raya lalu, BN berjaya menubuhkan kerajaan dan oleh itu banyak janji-janji perlu ditunaikan.

Katanya, ini perlu dipastikan supaya bila tiba masanya kelak, BN akan kembali dengan kekuatan dan seterusnya mendapat sokongan rakyat yang selama ini menjadikan BN parti yang diyakini dalam mewakili pelbagai kaum.

''Kita adalah satu hati dan kerajaan BN tetap berupa kerajaan yang anggota pentadbirannya diwakili parti komponen BN.

''BN masih parti berbilang kaum yang komited untuk berkhidmat kepada rakyat Malaysia," ujarnya.

* Ketawalah Pak Lah

No comments:

Post a Comment