PUTRAJAYA: Bekas pengawal keselamatan, Mohd Abbas Danus Baksan, yang didapati bersalah membunuh budak perempuan berumur 10 tahun, Nurul Huda Abdul Ghani di Johor empat tahun lepas, terlepas daripada hukuman mati selepas Mahkamah Persekutuan mengenepikan sabitan dan hukuman itu.
Mahkamah, bagaimanapun, mengekalkan hukuman penjara 20 tahun dan 24 sebatan dengan rotan yang diputuskan Mahkamah Sesyen Johor Baharu bagi kesalahan merogol budak prempuan itu, yang Mohd Abbas mengaku bersalah. Namun dia terlepas hukuman sebatan kerana dia kini berumur 52 tahun.
Semasa membenarkan rayuan Mohd Abbas, Presiden Mahkamah Rayuan Tan Sri Zaki Tun Azmi berkata beliau bersetuju dengan hujahan pembelaan bahawa terdapat orang ketiga yang terlibat dalam kes itu.
“Dengan itu semua keterangan keadaan yang dikemukakan pihak pendakwaan tidak menunjukkan yang kesalahan itu dilakukan sepenuhnya oleh perayu (Mohd Abbas),” katanya semasa memansuhkan keputusan Mahkamah Rayuan dan Mahkamah Tinggi.
Bersidang bersama-sama dengan Hakim Zaki ialah Hakim Besar Malaya Tan Sri Alauddin Mohd Sheriff dan Hakim Mahkamah Persekutuan Datuk Aziz Mohamad. -Bernama
No comments:
Post a Comment