10 October 2008

JKJR Rancang Baiki Sistem AES Bagi Elak Kemalangan Jalan Raya ~ Bernama

KUALA LUMPUR, 9 Okt (Bernama) -- Mutu Kamera Pengesan Saman Secara Automatik (AES) akan diperbaiki bagi meningkatkan keberkesanannya sekaligus mengurangkan kemalangan jalan raya.

Ketua Pengarah Jabatan Keselamatan Jalan Raya (JKJR) Datuk Suret Singh berkata peningkatan mutu AES yang akan dibuat bersama agensi kerajaan di bawah Ops Bersepadu itu termasuk dari segi pengurusan data dan pelan tindakan pada AES.

Beliau berkata kamera itu akan turut dipasang di lokasi yang telah dikenalpasti iaitu kawasan yang mencatat kadar kemalangan yang tinggi di seluruh negara dan dijangka beroperasi pertengahan tahun depan.

"Dengan adanya AES ini, kami berharap kadar pengesanan pesalah trafik di kawasan kemalangan dapat ditingkatkan kepada 75 peratus," katanya kepada pemberita selepas kempen Advokasi JKJR untuk penunggang motosikal di Plaza Tol Sg Besi di sini.

Setakat ini katanya, jumlah pesalah trafik yang dapat dikesan ialah pada paras 16 hingga 25 peratus pada hari-hari biasa dan sekadar 50 peratus pada musim perayaan.

Pengarah Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Malaysia (Miros) Dr Ahmad Farhan Mohd Sadullah berkata kewujudan penguatkuasaan automatik ini dapat membantu pesalah trafik memperbaiki kaedah pemanduan mereka.

"Berdasarkan kajian, pemandu lebih khuatir memikirkan jika mereka ditangkap berbanding dengan rasa khuatir jika mereka menghadapi kemalangan," katanya.

No comments:

Post a Comment