23 October 2008

ISA: Majoriti mahu dikekal belum sesuai masa dipinda ~ Mstar

KUALA LUMPUR: Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Syed Hamid Albar berkata, majoriti rakyat negara ini masih mahukan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) dikekalkan bagi menjamin keamanan dan kestabilan.

Kata beliau, di sebalik desakan dan tuntutan agar undang-undang berusia lebih empat dekad itu dimansuhkan, terdapat juga pandangan berbeza di kalangan sebahagian besar rakyat lain.

"Terdapat pelbagai jenis NGO. Adakalanya satu NGO bertindak kononnya mewakili 100,000 orang. Saya merasakan terdapat pemikiran berlainan di kalangan penduduk kawasan bandar dan golongan cerdik pandai dan keluarga serta media.

"Bagaimana anda boleh mewujudkan keadaan yang seimbang dalam usaha memastikan setiap orang rasa selamat. Orang mengatakan bahawa akan tiba masa di mana orang ramai mahukan pemansuhan total ISA dan undang-undang pencegahan.

"Jika demikian (keadaan), anda lakukannya ketika itu. Tetapi pada masa ini, kami merasakan bahawa majoriti rakyat merasakan masih wujud keperluan mempunyai satu undang-undang preventif," kata beliau dalam temu bual dengan mStar Online dan Star Online di sini.

Beliau yang menyentuh pelbagai isu dalam temu bual kali ini berkata, apabila agensi-agensi penguat kuasa asing datang ke Malaysia mereka menyimpulkan negara ini bernasib baik kerana mempunyai ISA.

"Mereka mengatakan bahawa disebabkan ISA banyak perkara tidak berlaku di negara ini, (misalnya) kejadian pengeboman Baling, kewujudan kumpulan pelampau. Tetapi di Malaysia, kita mengambil mudah kesemua ini sebab setiap orang boleh bergerak (bebas).

"Apabila mereka tidak gembira, mereka mengecam pegawai-pegawai penguat kuasa, polis, Imigresen, banyak aspek lain.

"Ini adalah keindahan tinggal di sebuah negara demokrasi yang aman - boleh hidup dengans selesa. Mereka mengatakan bahawa kami salah (menggunakan ISA) tetapi anda berada dalam kedudukan untuk membuat keputusan... kerajaan sensitif kepada pandangan, tunjuk perasaan," katanya.

Justeru, kata beliau, kerajaan mempunyai sebab-sebab kukuh untuk mengambil tindakan menggunakan undang-undang preventif.

Sambil menekankan nilai-nilai manusia berubah dari semasa ke semasa, Syed Hamid menyoal sama ada rakyat negara ini sudah bersedia ke arah tidak mahu undang-undang preventif sama sekali.

"Kita adalah masyarakat dewasa tetapi adakah keadaan ini akan mencetuskan lebih polarisasi? Kita perlu memutuskan. Kemungkinan tidak ketika generasi saya, kita (generasi akan datang) mungkin lebih selesa dengan satu sama lain sehingga undang-undang preventif sudah tidak diperlukan lagi," katanya.

* Bohong lagi

No comments:

Post a Comment