KUALA TERENGGANU 9 Okt. — Kerajaan akan menggunakan Akta Pertubuhan 1966 untuk bertindak terhadap Hindu Rights Action Force (Hindraf) kerana menimbulkan kekecohan pada majlis rumah terbuka Hari Raya Perdana Menteri dan Menteri-Menteri Kabinet beragama Islam di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), Kuala Lumpur, Rabu lalu.
Timbalan Menteri Dalam Negeri, Senator Datuk Wan Ahmad Farid Wan Salleh berkata, tindakan itu akan diambil dalam tempoh terdekat terhadap Hindraf sendiri, jawatankuasa penajanya mahupun anggota-anggotanya walaupun ia bukan merupakan satu pertubuhan yang berdaftar.
“Tindakan akan diambil. Kita ada banyak alternatif dan menteri akan melaksanakan tugas di bawah akta ini.
“Dalam akta ini, sama ada pertubuhan itu sah atau tidak sah, ia tetap sebuah pertubuhan. Jika ia tidak sah maka tindakan akan diambil berdasarkan peruntukan bagi pertubuhan yang tidak sah sebaliknya jika ia pertubuhan yang sah, maka tindakan akan diambil di bawah peruntukan yang bersesuaian,” katanya sebagai mengulas gesaan pelbagai pihak supaya tindakan tegas dikenakan terhadap Hindraf kerana bertindak biadap di majlis rumah terbuka pada hari raya pertama.
No comments:
Post a Comment