17 October 2008

Harga minyak hampiri paras terendah ~ Utusan

KUALA LUMPUR 16 Okt. - Harga minyak mentah dunia kini menghampiri paras terendah dalam tempoh 13 bulan pada AS$71.21 setong sebelum ditutup lebih tinggi pada AS$73.08 akibat meningkatnya kebimbangan terhadap berkurangnya permintaan dan kemelesetan ekonomi dunia.

Kontrak hadapan minyak mutu tinggi bagi hantaran November ditutup jatuh AS$1.46 di pasaran New York.

Kontrak bulan hadapan telah mengalami kejatuhan hampir satu pertiga nilai dalam tiga minggu, terburuk sejak ia didagangkan pada 1983.

Sebelum ini, Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Shahrir Samad berkata, kerajaan mungkin dapat menurunkan harga petrol ke paras RM1.92 seliter jika harga minyak di pasaran dunia jatuh di bawah paras AS$72 setong.

Menurut laporan agensi berita Reuters, harga minyak mentah jatuh ke paras terendah dalam urus niaga pagi ini sebelum kembali meningkat.

Harga minyak mentah telah merudum melebihi 50 peratus daripada rekod tertinggi AS$147, pada Julai lalu.

''Harga minyak mentah terus jatuh apabila kebimbangan terhadap kemelesetan sejagat meningkat,'' kata penganalisis Sucden Nimit Khamar menjelang pengumuman data minyak di Amerika Syarikat (AS).

Ketua Penyelidik Komoditi di Merrill Lynch, Francisco Blanch berkata, kelemahan dalam ekonomi menjejaskan pasaran saham dan minyak tetapi kejatuhan harga minyak juga mencerminkan permintaan yang berkurangan.

''Bukan senang untuk membeli minyak jika seseorang mempunyai masalah menjelaskan kredit," katanya.

Sementara itu, para penganalisis lain menjangka permintaan minyak mentah global akan mengalami penurunan berikutan beberapa data buruk yang menjejaskan pasaran lebih besar berbanding dengan perbincangan Pertubuhan Negara-Negara Pengeksport Petroleum (OPEC) tentang kemungkinan pengurangan pengeluaran dan taufan yang melanda operasi minyak di Caribbean.

No comments:

Post a Comment