29 October 2008

GM PKNS: MB dan PAS Selangor bersependapat

Isu perlantikan Pemangku Pengurus Besar Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS), Madam Low Siew Moi, dibangkitkan dalam dewan undangan negeri Selangor sebentar tadi apabila wakil Kota Damansara dari Parti Sosialis, Dr Nasir mengingatkan semua pihak agar jangan terperangkap dengan isu kaum dan agama. Beliau menegaskan sebagai wakil dari parti sosialis, bahawa parti beliau tidak samasekali bersandar pada isu-isu sedemikian.

Akhbar-akhbar tempatan hari ini melaporkan darihal sikap PAS Selangor terhadap keputusan Dato Menteri Besar Selangor selaku pengerusi PKNS melantik Madam Low sebagai Pemangku Pengurus Besar PKNS.

Saya yakin apa yang PAS Selangor bangkitkan dan bawa kepengetahuan MB itu bukannya isu kaum atau agama. Jika parti sosialis yang diwakili Dr Nasir bukan bersendikan perkauman, PAS juga lebih dari itu. Islam tidak pernah menjuarai isu perkauman, yang penting disisi Allah adalah mereka yang bertaqwa.

Jika kita teliti kenyataan Pesuruhjaya PAS Selangor, Dr Hasan Ali, bagi pihak ahli-ahli EXCO PAS dan ADUN-ADUN PAS bahawa yang dipertikaikan adalah kewajaran melantik Madam Low
dari sudut kelayakan, bukannya kerana bangsa atau anutan Madam Low. Kerana itulah sebagaimana dilaporkan oleh semua akhbar hari ini, Dato MB Selangor bersetuju dan malah bersedia jika PAS mempunyai calon yang sesuai untuk mengambil-alihan jawatan berkenaan serta-merta.

Sebagaimana dilaporkan oleh akhbar Sinar Harian hari ini:

”Katanya (Dr Hasan Ali) PAS berbesar hati kerana dalam pertemuan baru-baru ini Abdul Khalid (Dato MB) menyerahkan kepada PAS untuk mencari calon yang mampu menguruskan dan mentadbir PKNS dengan baik sehingga berupaya mengembalikan peranannya dalam pembangunan ekonomi Bumiputera.”

Bermakna tidak ada siapa di sini yang terperangkap dengan isu kaum atau agama. Kedua-dua PAS dan Dato MB Selangor mahukan calon yang memiliki kemampuan serta keupayaan mengembalikan badan berkanun negeri ini supaya berperanan membangunkan ekonomi Bumiputera setelah ternyata ia gagal di bawah pentadbiran BN Selangor sekian lama. Dan apakah peranan ataupun objektif utama PKNS? Antaranya:


Meneroka dan menyertai bidang-bidang pelaburan dan perdagangan untuk mewujudkan penyertaan ekuiti dan pengurusan Bumiputera yang berkesan dalam perindustrian dan perdagangan.

Menyedia landasan ke arah mewujudkan Masyarakat Perdagangan dan Perindustrian Bumiputera selarasn dengan Dasar Pembangunan Nasional.

Alhamdulillah hasil dari kebijaksanaan Dato MB Selangor, apa yang dikemukakan oleh PAS itu diterima dan kini kita sama-sama menunggu perlantikkan calon yang lebih sesuai yang dapat diterima oleh semua dan lebih penting lagi mampu dan berupaya menggerak dan melaksanakan agenda yang telah ditetapkan dalam dasar dan obketif PKNS itu. ~Roslansms

No comments:

Post a Comment