20 October 2008

Eurocopter : AMK buat laporan polis terhadap Najib ~ Suara Keadilan

KUALA LUMPUR, 20 OKTOBER (SK) - Satu laporan polis terhadap dibuat pagi ini mengenai Timbalan Perdana Menteri, Najib Abdul Razak terhadap penyelewengan dan salah guna kuasa mengenai skandal pembelian Eurocopter semasa beliau menjawat jawatan Menteri Pertahanan.

Laporan polis berkenaan dibuat oleh Timbalan Ketua Angkatan Muda, Fariz Musa selepas pendedahan Ketua Pembangkang,Anwar Ibrahim di Parlimen baru-baru ini yang merujuk kepada surat rasmi yang dihantar syarikat pembida helikopter, Mentari Services.

Dalam surat berkenaan, syarikat berkenaan memberitahu bahawa kerajaan telah bersetuju membeli 10 unit Eurocopter yang lebih mahal daripada pembida lain yang menawarkan helikopter yang berkeupayaan yang sama pada nilai yang lebih murah dan menjimatkan.

Fariz berkata Najib mengulangi ‘perangai’ buruknya sebelum ini dengan melibatkan diri di dalam skandal komisyen jet pejuang Sukhoi dan kapal selam Scorpene.

“Kes ini sama dengan skandal komisyen jet pejuang Sukhoi dan kapal selam Scorpene, kami mahu ianya disiasat dan diambil tindakan,” katanya kepada Suara Keadilan.

Pada 26 September lalu, Perdana Menteri Abdullah Ahmad Badawi mengumumkan kerajaan akan menggantikan angkatan helikopter Nuri kepada Eurocopter Cougar EC725 buatan Perancis. Bagi tujuan tersebut, kerajaan memperuntukkan sekurang-kurangnya RM1.93 bilion untuk membeli 12 unit helikopter baru.

Harga tender yang ditawarkan Eurocopter bagi 10 helikopter itu adalah RM2.317 bilion dan adalah harga yang paling tinggi. Mentari Services, melalui syarikat induk Kelowna Flightcraft menawarkan helikopter buatan Rusia Mi-172 KF pada harga RM898 juta, manakala syarikat pembuat Nuri, Sikorsky dari Amerika Syarikat, menawarkan helikopter alaf baru S-92 pada harga RM1.452 bilion.

Fariz yang hadir sama hari ini di Ibu Pejabat Polis Dang Wangi ialah Timbalan Ketua AMK Terengganu, Muzafeq Muhammad menambah ,semua AMK setiap negeri akan membuat laporan polis di setiap negeri pada rabu ini bagi menuntut Calon Presiden Umno itu disiasat dan diambil tindakan.

No comments:

Post a Comment