KUALA LUMPUR - "Nurul Hazira dipercayai mati akibat dijerut dengan selendang bersama rantai leher yang dipakainya".
Itu andaian pihak polis setelah selendang tersebut ditemui di tempat kejadian untuk dijadikan barang bukti.
Ketua Polis Daerah Gombak Asisten Komisioner Abdul Rahim Abdullah ketika dihubungi berkata, pihaknya tidak pasti sama ada selendang tersebut dipakai mangsa atau memang berada di dalam rumah tersebut.
"Selendang tersebut mungkin digunakan oleh suspek untuk menjerut mangsa dan rantai yang dipakai tersangkut sehingga menyebabkan mangsa tidak boleh bernafas," katanya.
Tambahnya, suspek yang kini di rawat Hospital Sungai Buloh telah mula sedarkan diri kira-kira jam tujuh malam.
"Kita akan ambil keterangan suspek selepas dia sedar sepenuhnya hari ini dan kes tersebut kini disiasat di bawah Seksyen 302 iaitu bunuh,"ujarnya.
Sementara itu, suasana suram masih lagi menyelubungi keluarga mangsa.
"Kami sepatutnya sambut hari jadinya hari ini (semalam) tetapi dia mati dibunuh oleh suspek yang anggapnya seperti adik," kata bapa mangsa, Baharom Basir, 51, ketika ditemui di rumahnya semalam.
Kata Baharom, anaknya yang keluar rumah kira-kira 10.30 pagi dipercayai telah berjumpa suspek.
"Saya syak kakak (Hazira) terpaksa mengikutnya ke rumah sewanya di Kuang dengan helah suspek, sebelum dia bertindak bunuh kakak," katanya.
Apa yang mengejutkan Baharom, panggilan telefon yang diterimanya pukul 12 tengah hari dari pihak polis memberitahu anaknya telah mati dibunuh.
Dia kemudian telah ke Hospital Sungai Buloh untuk membuat pengecaman mayat dan terkejut apabila diberitahu suspek yang membunuh anaknya adalah orang yang paling rapat dengan keluarganya.
"Saya tidak tahu apa yang mereka bincangkan sehingga kakak (Hazira) dibunuh, tetapi Isnin lalu memang ada sebuah keluarga datang merisik kakak," katanya.
Baharom berkata, disebabkan hal itu, suspek mungkin cemburu dan kakak dibunuh tanpa belas kasihan.
"Saya pernah tanya padanya sama ada dia suka dengan kakak, tapi dia jawab cukuplah sekadar adik dan abang," ujarnya.
Lebih sedih apabila kematian Nurul Hazira berlaku sehari sebelum hari lahirnya yang ke-26.
Dalam kejadian tersebut, Nurul Hazira mati dicekik suspek yang berusia 36 tahun itu setelah mangsa datang ke rumahnya.
Mayat Nurul Hazira dijumpai di atas tilam dalam sebuah bilik dan selepas kejadian suspek telah bertindak meminum racun rumpai.
No comments:
Post a Comment