30 October 2008

Cemas bayi diculik 7 jam

KUANTAN: Sepasang suami isteri terpaksa melalui detik mencemaskan apabila bayi lelaki mereka, Mohd Aidin, yang baru berusia sebulan dilarikan seorang wanita yang bersubahat bersama dua lelaki lain dari rumah mereka di Galing Besar, dekat sini, petang kelmarin, sebelum ditemui semula dalam keadaan selamat, tujuh jam kemudian.

Sebelum kejadian, ibu bayi itu, Zaiton Awang Besar, 37, yang bersendirian di rumah didatangi seorang wanita yang juga kenalan anak saudara lelakinya dan seorang lelaki tanpa mengesyaki niat buruk suspek terbabit, kira-kira jam 6 petang.

Ketika rancak berbual, ibu mangsa meminta izin membuang sampah di belakang rumah dan meninggalkan bayi berkenaan dengan ‘tetamu’ wanita terbabit.

Bagaimanapun, ketika ketiadaan Zaiton, wanita terbabit bersama lelaki bersamanya melarikan bayi berkenaan sebelum menghilangkan diri dengan menaiki sebuah kereta yang sedia menunggu tidak jauh dari rumah mangsa dengan dipandu seorang lagi lelaki.

Difahamkan, tindakan kedua-dua suspek terbabit melarikan bayi berkenaan dilihat seorang kanak-kanak yang juga anak jiran sebelum memaklumkan kejadian itu kepada ibu mangsa.

Berikutan kejadian itu, Zaiton cuba mengesan kereta berkenaan di sekitar pusat bandar ini, tetapi tidak berhasil sebelum membuat aduan mengenai kehilangan bayinya di Balai Polis Air Putih di sini, jam 11.30 malam.

Difahamkan, selepas melarikan bayi berkenaan, semua suspek terbabit bertemu sepasang suami isteri masing-masing berusia 24 dan 25 tahun di Kampung Razali, Jalan Gambang, dekat sini, sebelum membuat perjanjian menjual bayi berkenaan dengan harga RM500.

Menceritakan semula detik kejadian itu, bapa bayi berkenaan, Abu Abdullah, 33, seorang kontraktor di Dungun, Terengganu, berkata dia tiada di rumah ketika kejadian dan bergegas pulang selepas isterinya memaklumkan mengenai kehilangan anak sulung mereka.

Menurutnya, dia bersama isteri dan dibantu seorang anak saudara lelakinya berusaha mencari di sekitar pusat bandar sebelum menemui dua lelaki dan seorang wanita dalam keadaan mencurigakan sedang berjalan di kawasan Tanah Putih Lama.

Katanya, ketika itu, anak saudaranya mengecam wajah kedua-dua lelaki terbabit lalu menyoal mereka mengenai kehilangan bayinya, namun suspek tidak mengaku terbabit dalam kejadian itu sebelum mereka dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah Kuantan.

“Selepas disoal siasat polis, ketiga-tiga suspek terbabit akhirnya mengaku melarikan bayi saya sebelum memaklumkan lokasi dia disembunyikan di rumah sepasang suami isteri.

“Selama tujuh jam bayi saya dilarikan, fikiran saya kusut dan bercelaru kerana bimbang berlaku kejadian buruk menimpa anak sulung kami.

“Isteri saya pula tidak berhenti menangis kerana terkenangkan anak kami ketika gerakan mencari dijalankan hingga ke Jaya Gading di sini,” katanya ketika ditemui Harian Metro, semalam.

Difahamkan, susulan maklumat itu, sepasukan anggota polis mengepung sebuah rumah didiami sepasang suami isteri di Kampung Razali, jam 2 pagi sebelum menemui semula bayi berkenaan.

Ketika serbuan, pasangan suami isteri itu sedang tidur dan gagal melarikan diri sebelum ditahan dan dibawa ke IPD Kuantan untuk siasatan lanjut.

“Saya dan isteri gembira dan bersyukur apabila cahaya mata sulung kami ditemui semula dalam keadaan selamat dan sedang tidur dalam bilik di rumah berkenaan.

“Sepanjang tempoh tujuh jam kehilangannya, pelbagai persoalan bermain di fikiran saya terutama apabila teringatkan beberapa kes culik bayi yang pernah berlaku sebelum ini.

“Saya sekeluarga berterima kasih kepada anggota polis kerana bertindak pantas dan dapat menyelamatkan anak kami yang mungkin mahu dijual ke luar negara,” katanya.

Sementara itu, Timbalan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah (Siasatan/Perundangan) negeri, Superintendan Mohd Haris Daud, ketika ditemui mengesahkan menerima laporan berhubung kejadian itu.

Beliau berkata, polis masih menjalankan siasatan lanjut berhubung kejadian itu dari semua aspek termasuk sama ada semua suspek berkenaan pernah terbabit dalam beberapa kes sama yang pernah dilaporkan di beberapa negeri sebelum ini.

“Semua suspek yang berusia antara 18 dan 30 tahun kini direman hingga 1 November ini bagi membantu siasatan kes itu yang disiasat mengikut Seksyen 363 Kanun Keseksaan kerana menculik selain dipercayai turut terbabit dalam beberapa kes jenayah lain,” katanya. ~HMetro

No comments:

Post a Comment