KUALA LUMPUR 16 Okt. - Ketua Penerangan UMNO, Tan Sri Muhammad Muhd. Taib membidas dakwaan pemimpin parti pembangkang bahawa penubuhan Tabung Azan bermotifkan politik.
Beliau berkata, kewujudan tabung itu bertujuan untuk mendaulatkan Islam selain membantu Utusan Malaysia yang menjadi wadah perjuangan orang Melayu.
''Kita tidak mahu pembangkang menjadikan kewujudan tabung ini sebagai satu polemik politik yang boleh menjejaskan akidah.
''Kenyataan pemimpin pembangkang seolah-olah mereka menentang dan membantah kewujudan Tabung Azan sedangkan ia bertujuan baik bagi mengagungkan azan secara lebih berkesan,'' katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita pada Majlis Sambutan Aidilfitri anjuran Kumpulan Utusan di Hotel Crown Plaza Mutiara di sini hari ini.
Muhammad mengulas kenyataan Naib Presiden Pas, Datuk Husam Musa semalam yang membidas tindakan UMNO Bahagian Cheras menubuhkan Tabung Azan untuk membantu Utusan Malaysia yang disaman RM30 juta oleh Ahli Parlimen Seputeh, Teresa Kok.
Husam berkata, UMNO tidak sewajarnya membela mana-mana media dan seharusnya bertindak sebagai badan bebas yang menjadi pemerhati bagi pihak rakyat.
Dalam hal ini, Muhammad turut mempertikaikan pendirian Pas yang selama ini sentiasa melaung-laungkan diri mereka sebagai sebuah parti penjaga Islam.
''Kita ingin bertanya apakah pendirian Pas dalam mempertahankan kebebasan azan dan kenapa Pas tidak menasihat, membidas atau memberi kata dua ke atas rakan mereka Teresa Kok dalam isu laungan azan di Selangor,'' tegasnya.
Muhammad turut menyeru orang Melayu di seluruh negara dan bahagian UMNO di Selangor agar memberi sokongan padu kepada tabung berkenaan.
No comments:
Post a Comment