23 September 2008

Warga Afrika pula timbulkan masalah

Lelaki Afrika mati ditikam dekat stesen LRT

KUALA LUMPUR: Gara-gara tolak-menolak di Stesen Transit Aliran Ringan (LRT), dua lelaki warga Afrika menerima padah apabila diserang beramai-ramai sekumpulan lelaki tempatan hingga menyebabkan salah seorang daripada mereka mati ditikam di dada.

Dalam kejadian sekitar jam 8 malam kelmarin, lelaki warga Afrika berkenaan diserang dengan pisau oleh suspek berusia 20-an berhampiran LRT Taman Melati, Wangsa Maju, di sini.

Seorang lagi rakan suspek turut cedera parah apabila ditikam di belakang tubuhnya dengan pisau oleh suspek yang menaiki van.

Sumber polis berkata, dalam kejadian sekitar jam 9 malam itu, mangsa bersama dua rakannya berada di Stesen LRT berkenaan.

Menurutnya, kumpulan lelaki warga Afrika terbabit yang juga pelajar sebuah kolej swasta di Petaling Jaya bergaduh dengan sekumpulan belia tempatan.

“Siasatan awal menunjukkan pergaduhan terbabit tercetus akibat kejadian tolak-menolak ketika ingin menaiki LRT hingga berlanjutan kepada serangan fizikal.

“Dalam kejadian itu, mangsa, Abdel Aziz Hassan Abdraman, 22, cedera parah ditikam seorang suspek di bahagian rusuk kanannya,” katanya.

Seorang lagi rakan mangsa turut ditikam pada bahagian belakang oleh suspek sebelum kumpulan penyerang melarikan diri daripada lokasi kejadian.

Susulan kejadian itu, anggota polis peronda Balai Polis Wangsa Maju yang tiba ke lokasi kejadian memanggil anggota Jabatan Pertahanan Awam (JPA3) bagi membawa mangsa ke hospital bagi mendapatkan rawatan.

“Mangsa dihantar ke Hospital Kuala Lumpur (HKL) untuk mendapatkan rawatan kecemasan bagaimanapun, disahkan meninggal dunia jam 11 malam kelmarin.

“Bagaimanapun, rakan suspek berusia 21 tahun yang turut cedera ditikam dilaporkan stabil,” katanya.

Sementara itu, jurucakap polis Ibu Pejabat Daerah Sentul yang dihubungi berkata, tiga suspek berusia 20-an yang disyaki terbabit dalam kes serangan itu sudah diberkas polis untuk siasatan lanjut.

Turut dirampas adalah sebuah van yang dipercayai digunakan suspek untuk melarikan diri.

Sementara itu, Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur, Senior Asisten Komisioner II Ku Chin Wah, yang dihubungi mengesahkan kejadian itu.

Difahamkan kehadiran ramai warga Afrika yang mendiami serta menyewa sekitar kawasan kondominium Taman Melati, Wangsa Maju, menimbulkan rasa tidak senang penduduk tempatan.

Difahamkan golongan warga Afrika ini yang tidak mesra kejiranan sering bergaduh dengan penduduk tempatan selain tidak menghormati budaya masyarakat setempat.

Terbaru kumpulan warga Afrika ini ditahan polis Ibu pejabat Polis Daerah Sentul selepas menceroboh masuk dan menyerang seorang pegawai Imigresen di rumahnya di Taman Melati, Wangsa Maju.

Dalam kejadian 10 September lalu, sekumpulan tujuh samseng Awang Afrika terbabit yang menyewa di sebuah pangsapuri menyerang mangsa dan dua anaknya ketika keluarga mangsa sedang berbuka puasa.

Kumpulan lelaki Afrika berkenaan turut membelasah dua anak mangsa berusia 13 dan 15 tahun hanya kerana perselisihan faham di taman permainan.

www.hmetro.com.my

No comments:

Post a Comment