Bunuh, kerat lapan: Seorang dihukum gantung, dua lagi bebas
ALOR STAR 21 Sept. - Mahkamah Tinggi di sini hari ini menjatuhkan hukuman gantung sampai mati ke atas seorang jurujual setelah didapati bersalah membunuh seorang tukang besi, Chuah Leng Hai, 38, tujuh tahun lalu, dengan tubuh mangsa dikerat kepada lapan bahagian.
Bagaimanapun, dua lagi tertuduh dalam kes itu, Ariffin Ahmad, 47, dan Muhammad Zaidi Salleh, 42, dibebaskan setelah didapati tidak bersalah.
Tertuduh pertama, Khairul Anuar Zakaria yang kini berusia 48 tahun didapati melakukan kesalahan itu di sebuah rumah No. 46 Taman Datuk Kumbar di sini antara pukul 5 pagi hingga 6.35 pagi, 4 Jun 2001.
Dia, yang melakukan kesalahan itu di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan, memperuntukkan hukuman gantung sampai mati, kelihatan tenang ketika Hakim Datuk Wan Adnan Muhamad membacakan keputusan terhadapnya.
Sebelum keputusan dibacakan, tertuduh pertama, Khairul Anuar memohon untuk menyatakan sesuatu kepada mahkamah supaya hukuman ke atasnya diringankan.
Anak lelaki tunggal dalam keluarganya itu telah bersumpah dengan melafazkan: "Wallahi, Wabillahi, Watallahi bahawa saya tidak berniat untuk merancang pembunuhan si mati. Saya berada dalam keadaan tidak sedar semasa kejadian.
"Saya juga ingin memohon maaf kepada keluarga mangsa, sesungguhnya saya tidak berniat melakukannya," ujarnya.
Bagaimanapun, menurut Wan Adnan, mahkamah membuat keputusan berdasarkan keterangan kedua-dua belah pihak tanpa mengambil kira sumpah yang dibuat.
"Keputusan yang dibuat hanya berdasarkan keterangan yang tidak menimbulkan keraguan yang munasabah dan undang-undang semasa," katanya.
Beliau turut melepas dan membebaskan Ariffin dan Muhammad Zaidi kerana berdasarkan keterangan Khairul Anuar, kedua-dua tertuduh itu tidak terlibat kerana tidur waktu kejadian.
"Jadi keraguan munasabah timbul dan mereka dilepas serta dibebaskan," kata Wan Adenan.
Pada 4 April 2001, ketiga-tiga tertuduh didapati telah melakukan pembunuhan kejam ke atas seorang tukang besi, Chuah Leng Hai, dengan memotong tubuh mangsa kepada lapan bahagian di sebuah rumah No. 46 Taman Datuk Kumbar antara pukul 5 pagi hingga 6.35 pagi.
Pendakwaan dijalankan oleh Timbalan Pendakwa Raya Murtazadi Amran, manakala peguam G. Ravishankar mewakili Khairul Anuar dan Burhanudeen Abdul Wahid mewakili Ariffin serta Muhammad Zaidi.
Sementara itu, selepas keputusan dibacakan hari ini, suasana di mahkamah agak kecoh apabila ibu tertuduh tidak dapat mengawal perasaannya.
Ibunya menyembah kaki Timbalan Pendakwa Raya, Murtazadi Amran yang hendak keluar dari mahkamah itu dan memohon hukuman ke atas anaknya diringankan.
"Tolonglah... hari baik bulan baik, bebaskan anak mak cik. Mak cik dah tua," rayunya kepada Murtazadi hanya terpaku berdiri.
Melihatkan situasi itu anak-anak wanita berkenaan menariknya dan kejadian tersebut berlaku ketika hakim telah memasuki kamarnya.
www.utusan.com.my
No comments:
Post a Comment