14 September 2008

Umno bertelagah sesama sendiri

Muhyiddin perlu letak jawatan - Alwi

KOTA BHARU 13 Sept. - Naib Presiden UMNO, Tan Sri Muhyiddin Yassin wajar melepaskan jawatannya sebagai menteri Kabinet jika beliau tidak berpuas hati dengan kepimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi.

Ketua Penerangan UMNO Kelantan, Datuk Mohd. Alwi Che Ahmad bersetuju dengan cadangan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Zaid Ibrahim yang meminta Muhyiddin melepaskan jawatannya.

Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kok Lanas menyifatkan cadangan Zaid itu memang wajar memandangkan Muhyiddin seorang menteri yang dipilih oleh Perdana Menteri.

''Contohnya dalam ibadat solat, jika seorang makmum (pengikut) yang merasakan imam tidak betul, dia kena mufarakah (berpisah daripada imam)," katanya di sini hari ini.

Mohd. Alwi berkata demikian ketika diminta mengulas kenyataan Zaid supaya Muhyiddin meletakkan jawatan jika tidak berpuas hati dengan kepimpinan Abdullah.

Menurut Zaid, jika Muhyiddin enggan berbuat demikian, Abdullah mempunyai kuasa untuk memecat beliau.

Kelmarin, Muhyiddin dilaporkan menggesa Abdullah supaya memikirkan semula tarikh peralihan kuasa yang dijadualkan pada 2010 kerana tempoh tersebut terlalu lama.

Muhyiddin mendakwa, pelan peralihan yang telah diumumkan dua bulan lalu itu kini telah 'tenggelam' dan rakyat tidak lagi memikirkan mengenainya.

Mohd. Alwi turut mempersoalkan tindakan Muhyiddin membuat kenyataan itu memandangkan beliau adalah Pengerusi Jawatankuasa Etika Pemilihan Parti.

"Apakah tindakan itu menunjukkan beliau (Muhyiddin) beretika atau telah melanggar etika parti?'' soalnya.

Selain itu, beliau juga mempersoalkan rasional dan agenda sebenar tindakan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri itu mengeluarkan kenyataan tersebut di Singapura dan bukannya di negara ini.

''Sebenarnya, Muhyiddin boleh memberikan pandangannya semasa perjumpaan dengan Perdana Menteri setiap hari Rabu dan mesyuarat Majlis Tertinggi (MT), bukan secara terbuka di luar negara," katanya.

www.utusan.com.my

No comments:

Post a Comment