Tiga pelajar UiTM terkorban langgar pokok
PULAU PINANG - Tiga orang penuntut Universiti Teknologi Mara (UiTM) Arau, Perlis maut setelah kereta yang mereka naiki terbabas dan melanggar pokok di Kilometer 57 Lebuhraya Utara Selatan tidak jauh dari kawasan rehat dan rawat (R&R) Sungai Bakap dekat sini petang kelmarin.
Dalam kejadian pukul 6.25 petang menghala ke utara itu, dua lagi mangsa yang menaiki kereta tersebut cedera.
Dua mangsa terbunuh di tempat kejadian manakala seorang lagi meninggal dunia di Hospital Seberang Jaya (HSJ) lewat malam kelmarin.
Dua yang cedera itu dirawat di hospital yang sama.
Ketua Polis Daerah Seberang Perai Selatan, Supritendan Shafien Mamat berkata, mangsa yang terbunuh di tempat kejadian ialah penumpang di bahagian tempat duduk belakang kereta berkenaan, Ahmad Faisal Azhar, 18, dari Kampung Petai, Kangar dan penumpang hadapan, Raja Mohamad Salahuddin Raja Sukri, 18, dari Hala Pulai Jaya 5, Kampung Kepayang, Perak.
Seorang lagi penumpang di belakang, Mohamad Abdul Muhimin Ahmad Razuan, 18, dari Taman Meru, Ipoh meninggal dunia di HSJ.
Menurut beliau, pemandu kereta Perodua Kancil berkenaan, Muhammad Adham Shamsuddin, 19, dari Fasa 3b, Sri Manjung, Perak patah kaki kiri manakala seorang lagi penumpang di belakang Himam Abu Zarin, 18, dari Shah Alam cedera ringan di bahagian belakang.
Katanya, berdasarkan kad matrik yang dijumpai di dalam kereta itu, kesemua mereka merupakan penuntut UiTM kampus Arau, Perlis.
Shafien berkata, kereta itu dipercayai disewa oleh penuntut berkenaan untuk ke Perak dan ketika kemalangan, mereka dipercayai sedang dalam perjalanan pulang ke kampus mereka.
www.kosmo.com.my
No comments:
Post a Comment