Anwar dakwa kesnya berbaur politik
KUALA LUMPUR 10 Sept. - Datuk Seri Anwar Ibrahim menyifatkan permohonan untuk memindahkan kes liwat yang dihadapinya dari Mahkamah Sesyen ke Mahkamah Tinggi adalah satu tindakan berbau politik dan cubaan terdesak pihak pendakwaan yang tidak yakin dengan kes tersebut.
Ahli Parlimen Permatang Pauh itu berkata, pihak pendakwaan terpaksa menunggu arahan politik untuk membuat permohonan tersebut walaupun tidak ada keputusan mengenai perkara itu dibuat sehingga semalam.
''Tidak ada makluman sama sekali. Ternyata jawapan pihak pendakwaan ialah tidak ada keputusan sehingga semalam, maknanya pendakwa ini menunggu arahan politik,'' katanya.
Anwar berkata demikian kepada pemberita di luar mahkamah sejurus selesai sebutan kes liwat yang dihadapinya di Mahkamah Sesyen di sini hari ini.
Anwar didakwa meliwat bekas pembantunya, Mohd. Saiful Bukhari Azlan antara pukul 3.01 dan 4.30 petang, 26 Jun lalu di Unit 11-5-1, Desa Damansara Kondominium, No. 99, Jalan Setiakasih, Bukit Damansara di sini.
Dalam prosiding yang berlangsung kira-kira 30 minit mulai pukul 10.01 pagi, mahkamah memutuskan menangguhkan kes itu pada 24 September ini selepas pihak pembelaan membantah permohonan untuk memindahkannya ke Mahkamah Tinggi.
Anwar yang nyata tidak berpuas hati dengan permohonan itu mendakwa tindakan tersebut seperti satu 'serangan hendap' terhadap dirinya.
''Saya ulangi penegasan yang dibuat oleh ketua peguam bela, Sulaiman (Abdullah) bahawa ia cubaan terdesak pihak pendakwaan, seolah-olah menjadikan perbicaraan ini seperti serang hendap,'' katanya.
Menurutnya, bantahan yang dikemukakan juga adalah disebabkan sijil arahan permohonan itu ditandatangani Peguam Negara, Tan Sri Abdul Gani Patail.
Sedangkan, dakwa Anwar, Abdul Gani dan Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan sedang disiasat oleh Badan Pencegah Rasuah (BPR) berhubung laporan pemalsuan maklumat dalam kes terhadapnya pada tahun 1998.
''Bagaimana orang yang masih disiasat dan ada kemungkinan didakwa dalam kes jenayah dengan fakta yang jelas, membuat arahan sedemikian,'' katanya.
Apatah lagi, tegas Anwar, Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi sendiri sebelum ini telah memberi jaminan bahawa Abdul Gani dan Musa tidak akan terlibat dalam kes yang dihadapinya sekarang.
Abdul Gani dan Musa disiasat oleh BPR selepas Anwar membuat laporan yang mendakwa kedua-duanya bertindak memalsukan maklumat beliau dipukul ketika perbicaraan kes liwatnya 10 tahun lalu.
www.utusan.com.my
No comments:
Post a Comment