29 September 2008

Tegur salah, berdiam pun salah

Perempuan tegur anak jiran kena serang

KUALA LUMPUR: Teguran seorang wanita kepada anak jirannya supaya jangan membuat bising membawa padah apabila dia diserang ibu gadis yang dipercayai seorang Minah Rempit itu di Pangsapuri Sri Nilam di Ampang, dekat sini, Jumaat lalu.

Dalam kejadian kira-kira jam 12 tengah malam itu, suri rumah berusia 37 tahun berkenaan pada mulanya menegur gadis terbabit yang juga anak jirannya supaya tidak bercampur golongan Mat Rempit dan membuat bising di kawasan pangsapuri didiami.

Namun, dia tidak menyangka teguran itu menyebabkan ibu gadis berusia 12 tahun terbabit datang ke rumahnya tidak lama selepas itu dan menyerang wanita berkenaan sehingga menyebabkan mangsa cedera di bahu.

Ibu gadis terbabit dikatakan berang dengan tindakan mangsa yang cuba campur tangan dalam urusan rumah tangganya dan marah kerana mangsa menegur perbuatan anak gadisnya.

Menurut sumber, ibu gadis terbabit ke rumah mangsa dan mengetuk pintu sambil memanggil nama jirannya itu.

“Sejurus mangsa membuka pintu, ibu gadis terbabit tiba-tiba menerkam ke arah mangsa dan memukulnya menggunakan objek keras di bahu.

“Mangsa yang tergamam ketika itu tidak sempat membuat apa-apa dan hanya melihat wanita terbabit melarikan diri dan berkurung dalam rumahnya,” katanya.

Mangsa yang menetap di situ sejak enam tahun lalu, cedera di bahu dan mendakwa berasa sakit setiap kali hendak tidur.

Bimbang kejadian lebih buruk, mangsa membuat laporan di balai polis berhampiran.

www.hmetro.com.my

No comments:

Post a Comment