'Saya tidak akan tinggalkan BN' - Timbalan Presiden Sapp
SANDAKAN: Ahli Dewan Undangan Negeri Tanjung Papat, Datuk Raymond Tan Shu Kiah memberi jaminan tidak akan meninggalkan gabungan Barisan Nasional (BN) biarpun Parti Maju Sabah (Sapp) yang pernah disertainya telah keluar dari BN baru-baru ini.
"Walaupun parti yang saya anggotai sejak sekian lama tidak lagi berada dalam BN, saya tetap meneruskan tugas saya sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri BN.
"Saya menang dalam pilihan raya umum lepas atas tiket BN dan untuk itu saya tidak akan lari meninggalkan parti itu," katanya ketika berucap pada majlis penyampaian sumbangan kepada fakir miskin, balu dan anak yatim di sini malam tadi.
Tan, yang juga Timbalan Ketua Menteri dan Menteri Pembangunan Infrastruktur Negeri berkata:
"Saya kini umpama tiada rumah (merujuk kepada Sapp yang menyisihkannya) tetapi untuk kepentingan rakyat dan penyokong, saya tidak lama lagi akan mencari rumah (parti)."
Pada 17 September, Sapp mengumumkan keputusan keluar dari BN setelah lebih 13 tahun dalam gabungan itu dengan alasan BN telah hilang "Semangat BNnya".
Pada 18 Jun, Sapp mencadangkan usul tidak percaya terhadap Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi atas alasan hilang keyakinan terhadap kepimpinannya.
Tan yang juga Timbalan Presiden Sapp bersama Naib Presiden, Jimmy Wong dan Ketua Pemuda Au Kam Wah adalah ahli majlis tertinggi Sapp yang tidak bersetuju dengan keputusan itu. BERNAMA
No comments:
Post a Comment