10 September 2008

Rancangan 'kurang bijak' BN 'larikan' MP ke Taiwan, menambah kurang percaya rakyat | Tangguh ke 20 Sept terpaksa

Rasional Anwar 'pilih' 20 September sasaran baru Pakatan bentuk kerajaan

PETALING JAYA: Jika tidak 16 September, 20 September? Mengapa Datuk Seri Anwar Ibrahim merujuk 20 September semalam?

Ketika berucap di kediamannya sempena bulan Ramadan malam tadi, Anwar berkata, sasaran 16 September (Selasa depan) bagi membentuk kerajaan yang baru boleh dianjak ke satu tarikh yang lain jika wujud masalah yang boleh menghalang proses peralihan kuasa seperti yang dirancang.

"Walaupun kita sudah ada sasaran iaitu pada 16 September, tapi gambaran setakat ini hasil perbincangan bersama PAS dan DAP, tarikh itu boleh kita anjak... kalau tak jadi 16 haribulan mungkin 20 haribulan kerana tarikh itu juga ada sejarah," katanya.

Sebelum ini 16 September banyak dikaitkan dengan tarikh pembentukan Malaysia - yang membawa kepada kemasukan Sabah dan Sarawak.

Bagaimana pula dengan 20 September?

Tanggal 20 September merupakan hari bekas Timbalan Perdana Menteri itu ditahan di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) atas alasan mendatangkan kemudaratan kepada negara.

Anwar telah ditangkap oleh pihak polis pada pukul 10 malam 20 September 1998 di rumahnya no. 8 Jalan Setiamurni 1, Bukit Damansara, Kuala Lumpur.

Penangkapannya dibuat di bawah seksyen 73(1) (a) Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) kerana telah mendatangkan kemudaratan negara.

Kemudian beliau dihadapkan ke mahkamah atas tuduhan salah guna kuasa dan liwat.

Beliau keluar penjara pada April 2004 dan bebas larangan aktif berpolitik April lalu - sebulan selepas pilihan raya umum ke-12.

Anwar, Ketua Umum Pakatan Rakyat memenangi kerusi Parlimen Permatang Pauh dalam pilihan raya kecil 26 Ogos lalu.

Ketika ditemui wartawan di pekarangan Kompleks Mahkamah Jalan Duta, Kuala Lumpur pagi tadi, Anwar berkata, beliau akan ke Taiwan, jika perlu, untuk berjumpa dengan 49 Anggota Parlimen Barisan Nasional (BN) yang melakukan lawatan sambil belajar ke negara itu.

Kata Anwar beliau tidak putus hubungan dengan anggota Parlimen berkenaan dan sanggup ke pergi ke negara itu jika mereka ingin berjumpa dan berbincang dengannya.

"(Tarikh) 16 Sept akan adalah suatu realiti. Saya telah berjumpa dengan semua pemimpin Pakatan dan kami membincangkan perkara itu secara terperinci, dan memanglah kami menghadapi beberapa masalah teknikal apabila 49 anggota Parlimen itu dihantar ke luar negara," katanya dipetik Bernama.

Kumpulan berkenaan, yang diketuai Timbalan Pengerusi Kelab Penyokong-penyokong Barisan Nasional (BN-BBC) Datuk Bung Mokhtar Radin, dijadual pulang ke tanah air pada 17 September.

Mengulas keputusan bekas presiden Umno Tun Dr Mahathir Mohamad untuk kembali menganggotai parti itu, Anwar berkata: "Hendak tolong kapal karam secepat mungkin?".

Mengenai kemungkinan perubahan tarikh itu, Pengerusi BN-BBC, Datuk Seri Tiong King Sing menyifatkan Anwar sebagai pemimpin yang tidak bertanggungjawab.

"Inilah contoh pemimpin yang tidak boleh dipercayai, buat janji tapi tidak boleh tunaikan," katanya.

Tiong ketika dihubungi di Kaohsiung, Taiwan menyerahkan kepada rakyat untuk menilai tindakan Anwar yang sering membuat janji tetapi tidak mampu untuk ditunaikan.

"Buat janji tapi tak boleh tunai, kemudian nak letak kesalahan kepada orang lain... cakap tidak serupa bikin," katanya.

Menurut Tiong, Ketua Umum Pakatan Rakyat itu sering menggambarkan dirinya sebagai seorang pemimpin yang sempurna dan profesional dengan menyalahkan orang lain.

Diminta mengulas mengenai alasan penangguhan itu seperti yang dinyatakan Anwar adalah disebabkan ahli-ahli BNBBC kini sedang bercuti sambil belajar di Taiwan, Tiong berkata, percutian mereka tidak ada kena-mengena dengan matlamat Anwar.

"Mengapa nak kaitkan dengan kami? Perkara itu tak ada kaitan langsung dengan lawatan ini.

"Kalau betul ada antara kami yang ingin lompat parti untuk sertai Pakatan Rakyat, kenapa dia takut nak umumkan siapakah mereka itu?" katanya.


Sementara itu, Setiausaha Agung Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor berkata, apa yang dikatakan Anwar berhubung tarikh-tarikh tersebut hanya bertujuan mengelirukan BN dan rakyat.

“Kalau beliau sudah ada 30 ahli Parlimen BN (untuk membentuk kerajaan) seperti yang dikatakannya, sudah lama beliau bentuk kerajaan.

“Masalahnya, beliau tidak ada (ahli Parlimen). Jadi, jangan percaya tarikh-tarikh yang diberinya,” katanya.

“Saya ada tanya orang-orang PKR mengenai 16 September, mereka kata mereka tidak sebut pun tahun bila... apa ni?

“Mereka sewenang-wenangnya bermain dengan kestabilan negara dan masa depan rakyat hanya untuk kepentingan diri,” katanya ketika dihubungi.

Beliau berkata, Anwar mendakwa penubuhan kerajaan barunya adalah satu reformasi tetapi sebenarnya beliau hanya mahu menubuhkan kerajaan melalui pintu belakang yang sememangnya tidak beretika.

“Kita telah dapat mandat rakyat daripada pilihan raya umum yang lalu. Justeru mengambil orang kita daripada pintu belakang adalah perbuatan yang sungguh tidak beretika,” katanya.

Tengku Adnan berkata, pembentukan kerajaan Pakatan Rakyat pada 20 September ini tidak akan berlaku kerana terdapat sebahagian ahli Parlimen yang akan menghadiri menghadiri mesyuarat Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu di New York pada 19 September dan mesyuarat ahli-ahli Parlimen di New Zealand pada hari berikutnya.

www.mstar.com.my

No comments:

Post a Comment