Rakyat redah banjir, pemimpin BN seronok di luar negara
KOTA BHARU, 8 Sept (Hrkh) Kenyataan Dato Seri Abdullah Ahmad Badawi kerajaan baru 16 September mustahil, manakala Setiausaha Agung Barisan Nasional, Dato Seri Tengku Adnan Mansor pula menyebut tiada YB lompat parti.
Persoalannya apakah kenyataan itu sekadar menutup resah yang sudah berlubuk di hati.
Kalau benar sekali pun telahan Perdana Menteri mengapa pula dalam masa yang sama anggota parlimen BN seperti diheret ke luar negara 7 hingga 19 September ini kononnya mengadakan lawatan sambil belajar dalam bidang pertanian dan pengeluaran makanan.
Mengikut laporan, seramai 49 ahli parlimen BN akan menyertai lawatan sambil belajar ke Taiwan mulai hari ini. Seramai 41 orang sudah berlepas manakala lapan orang lagi dijangka berbuat demikian esok.
Seorang tokoh akedemik Dr Abdullah Sudin meluahkan rasa hairan mengapa Kelab Penyokong BN(BN BBC) menggunakan kesempatan sekarang untuk mengadakan lawatan sambil belajar ke luar negara.
“Adalah lebih baik ahli parlimen BN mengambil peluang untuk mendekati rakyat ketika tiada persidangan parlimen sekarang.
“Mereka sepatutnya mengambil peluang mendekati rakyat terutamanya di Kedah dan Pulau Pinang yang sedang meredah banjir sekarang,” kata beliau yang juga bekas pensyarah kanan UiTM.
Selain itu katanya bagi ahli parlimen beragama Islam mereka boleh mengambil peluang bersama rakyat di masjid atau berqiamulai.
Oleh itu tindakan tergesa-gesa itu merupakan satu pembaziran besar duit rakyat mungkin mencecah jutaan ringgit, sedangkan ia sepatutnya diagih kepada rakyat miskin menjelang Hari Raya Aidilfitri tidak lama lagi.
Anggota parlimen Ketereh, Haji Abdul Aziz Kadir berkata, tindakan BN BBC mengadakan lawatan sambil belajar di luar negara dalam bidang pertanian amat tidak munasabah dan kurang rasional.
“Tindakan mereka itu seolah-olah mengakui akan berlaku perubahan tampuk pemerintah negara dalam masa terdekat ini.
“Saya merasa pelik kerana wakil rakyat kerajaan terpaksa lari daripada pembangkang.Ini secara jelas menggambarkan Pakatan Rakyat begitu digeruni mereka,” katanya yang juga Pengerusi KeADILan Kelantan.
Menurutnya pemimpin utama Umno dan BN tidak mampu lagi menyembunyikan perasaan takut kepada kebangkitan rakyat, seolah-olah mereka rimas dengan bayang-bayang sendiri.
“Kalaulah pemimpin BN menganggap hasrat Pakatan Rakyat mengambil alih kerajaan hanya propaganda atau gimik politik, tentunya tidak timbul isu melarikan diri sehingga ke luar negara dalam tempoh begitu lama.
“Sebenarnya pemimpin atasan BN kini sedang membilang hari kerana mereka tahu siapa yang akan meninggalkan parti itu untuk bersama Pakatan Rakyat,” ujarnya.
Bekas ahli Jawatankuasa Umno Kubang kerian, Ibrahim Mamat berkata, tradisi membela rakyat yang dicanangkan BN selama ini hancur kerana mereka menggunakan begitu besar peruntukan bagi mempertahankan kepentingan peribadi.
“Mereka sekarang seperti orang salah yang sedang menunggu hukuman, jadi mereka tidak dapat tidur lena kerana sering diganggu mimpi buruk,” katanya.
http://www.harakahdaily.net
No comments:
Post a Comment