Peguam dakwa tidak diberi akses kepada Teresa
PETALING JAYA: Peguam kepada Ahli Parlimen DAP, Teresa Kok berkata, pihaknya tidak dibenar akses kepada wakil rakyat tersebut yang kini ditahan di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri.
Peguam Sankara Nair berkata, beliau tidak berjaya menemui Teresa di Balai Polis Wangsa Maju awal pagi ini walaupun telah diserahkan pemberitahuan penangkapan awal pagi ini.
"Dalam pemberitahuan tersebut, pihak polis telah memberitahu bahawa segala bentuk bantuan dalam pemantauan keadaan anak guam kami di dalam tahanan supaya berhubung terus dengan ACP Tan Kim Bong menerusi talian telefon 03-22627122," katanya.
Sankara berkata, beliau dengan serta-merta cuba untuk menghubungi Tan pada pukul 10 pagi ini tetapi tidak seorang pun yang menjawab panggilan telefon tersebut.
"Beberapa panggilan kepada talian telefon tersebut telah pun dibuat selepas itu tetapi masih lagi tidak berjaya," katanya lagi.
Beliau telah menghantar surat mengenai perkara tersebut kepada Kementerian Dalam Negeri, Jabatan Peguam Negara dan Ketua Polis Negara meminta agar dibenarkan akses dengan segera kepada Teresa, yang juga merupakan Exco Kerajaan Negeri.
Jelas Sankara, pihaknya berharap pihak polis tidak menafikan hak-hak asas dan penting yang termaktub dalam Perlembnagaan Persekutuan kepada anak guamnya itu untuk berbincang dan mengambil tindakan susulan.
Dalam salinan surat yang difakskan kepada mStar Online, Sankara berkata: "Kami memohon agar pihak tuan dapat membenarkan akses serta-merta kepada anak guam kami tanpa menghiraukan bahawa hari ini adalah hari Sabtu dan esok adalah Ahad."
www.mstar.com.my
No comments:
Post a Comment