Pelajar kolej dilarikan lapan jam
SUBANG JAYA - Seorang pelajar bukan sahaja kerugian RM1,000 malah dibawa bersiar-siar selama lapan jam oleh tiga lelaki sebelum ditinggalkan di pusat bandar sebuah negeri di utara tanah air semalam.
Kejadian pukul 12.30 malam itu berlaku apabila pelajar lelaki berusia 22 tahun tersebut didatangi tiga lelaki menaiki sebuah kereta Toyota Vios ketika mangsa sedang membuka pintu pagar rumahnya di Puchong Jaya di sini.
Sumber polis memberitahu, sebaik dihampiri, dua daripada tiga suspek kemudiannya mengarahkan mangsa masuk ke dalam kereta dan meminta mangsa menyerahkan wang sebanyak RM25,000.
Katanya, tidak cukup dengan itu, suspek turut melarikan sebuah kereta jenis Honda City milik mangsa.
"Antara alasan suspek meminta wang tersebut ialah mendakwa mangsa yang bersendirian ketika kejadian itu berhutang dengan mereka," katanya.
Menurut sumber lagi, mangsa kemudiannya cuba menerangkan perkara sebenar bahawa dia tidak pernah berhutang dan masih menuntut di sebuah kolej di Puchong.
"Tanpa mengendahkan jawapan mangsa, suspek kemudiannya bertindak melarikan mangsa ke sebuah negeri di utara tanah air.
Suspek itu turut meminta mangsa mengeluarkan wang di mesin pengeluaran automatik (ATM) sebanyak RM200.
"Tidak cukup dengan hasil itu, suspek kemudiannya menyuruh mangsa menghubungi keluarganya bagi meminta wang," katanya.
Akur dengan arahan itu, mangsa kemudiannya telah meminta wang dari rakannya sebanyak RM800 sebelum ditinggalkan di tepi jalan di sebuah kawasan di Ipoh pada pukul 8 pagi.
www.kosmo.com.my
No comments:
Post a Comment