Kes Presiden SAPP buktikan 'siasatan terpilih' BPR
Semuanya hanya satu kebetulan, dakwa Ketua Pengarah Badan Pencegah Rasuah (BPR), Datuk Seri Ahmad Said Hamdan.
Kenyataan itu terpaksa dibuat apabila khalayak umum melahirkan kehairanan atas 'kepantasan' BPR mengeluarkan kenyataan media berhubung siasatan rasuah Presiden Parti Maju Sabah (SAPP), Datuk Yong Teck Lee 24 jam selepas parti komponen BN itu menyatakan hasrat mengemukakan usul undi tidak percaya kepada Perdana Menteri.
Menurut Ahmad, apa yang berlaku hanya 'satu kebetulan' dan tindakan badan itu untuk menyiasat kes tersebut tidak ada kena-mengena dengan situasi politik tanah air masa sekarang.
"Kebetulan pada dua hari lalu, saksi utama kes Tan Sri Kasitah Gadam iaitu Datuk Wasli Mohd Said menimbulkan keterangan baru yang beliau (Wasli) pernah beberapa kali diarah membayar wang yang keseluruhannya berjumlah RM5 juta kepada ejen-ejen Yong.
"Justeru, BPR sebagai badan penguat kuasa undang-undang berhubung pencegahan rasuah mesti mengambil tindakan dan kita telah pun memulakan siasatan.
"Bagaimanapun, kita akan mengkaji nota keterangan mahkamah itu dahulu... apakah butir-butir yang ditimbulkan," kata beliau ketika ditemui pemberita sebelum menghadiri majlis makan malam sempena sukan tahunan BPR dan Biro Siasatan Amalan Rasuah (CPIB) Singapura di Putrajaya pada 22 Jun.
Kelmarin, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur diberitahu bahawa Yong mengarahkan pembayaran wang lebih RM5 juta, iaitu hasil keuntungan jualan saham syarikat milik kerajaan negeri Sabah, kepada ejen-ejen pilihannya pada 1996.
Ahmad Said berkata, pihaknya tidak dipengaruhi sesiapa termasuk parti politik.
"Ketika Yong membuat kenyataan pun (berkaitan usul undi tidak percaya terhadap Perdana Menteri), saya berada di luar negara. Saya sendiri yang mengeluarkan arahan kepada pegawai-pegawai saya supaya siasatan terhadap Yong dimulakan," katanya.
Ketika ditanya berhubung dakwaan Yong yang BPR pernah mengambil kenyataan beliau berhubung kes yang sama beberapa tahun lalu, Ahmad Said berkata, beliau tidak tahu mengenai perkara itu.
"Saya pada masa itu bukan Ketua Pengarah justeru saya tidak tahu berkaitan hal itu.
"Tapi itu tidak penting. Yang penting adalah keterangan baru di mahkamah dan kita akan mengambil tindakan hasil daripada keterangan itu dan turut akan menyiasat lapan lagi individu lain yang disebutkan," kata Ahmad seperti dilapor mSTAR Online.
Ketika diminta mengulas isu ini, Setiausaha Dewan Pemuda PAS Pusat, Ahmad Sabky Yusof mempersoalkan tindak-tanduk BPR yang tidak membuka kertas siasatan terhadap para pemimpin Umno dan BN yang dilapor terlibat dalam amalan rasuah selama ini.
Bagaimanapun, institusi pembanteras rasuah di bawah Jabatan Perdana Menteri itu cepat melakukan siasatan rasuah terhadap pemimpin-pemimpin Umno dan BN yang tidak lagi disukai atau diingini.
"Ini membuktikan BPR melaksanakan amalan siasatan terpilih," tegasnya.
Sabky juga mempersoalkan alasan 'keterangan baru' yang diterima BPR bagi membuka kertas siasatan Yong Teck Lee memandangkan bekas Ketua Menteri Sabah itu pernah disiasat atas dakwaan yang sama tiga tahun lalu.
"Bagi saya, alasan sebenar BPR bertindak adalah kerana Yong dan SAPP secara terbuka menentang Abdullah Ahmad Badawi," ujarnya.
Menurut Sabky lagi, jika BPR benar-benar serius memerangi rasuah, banyak kes membabitkan para pemimpin Umno dan BN disiasat dan didakwa pejabat Peguam Negara.
Beliau yang juga pengamal undang-undang memberi contoh siasatan rasuah membabitkan kerajaan negeri Kelantan, Dato' Seri Anwar Ibrahim malah Tun Dr Mahathir Mohamad sebagai bukti siasatan terpilih BPR.
Keadaan ini, jelasnya menghakis kredibiliti dan imej BPR di kalangan rakyat yang menganggap badan itu hanya menjadi alat pemimpin BN yang berkuasa.
"BPR perlu dibebaskan daripada campurtangan politik BN dan menjadi badan yang benar-benar bebas. Siasatan rasuah sewajarnya tidak tertumpu kepada musuh politik BN tetapi juga para pemimpin BN," tegasnya.
Apa juga alasan yang diberi BPR, imejnya di kalangan rakyat semakin merudum. Apatah lagi siasatan 18 kes berprofail tinggi yang didakwa mantan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Dato' Dr Rais Yatim pada 2004 kini terperap di pejabat BPR.
Sebelum dilantik Menteri Luar, Rais ditukarkan ke portfolio Kebudayaan, Kesenian dan Warisan yang antara lainnya menyangkut urusan arkib, muzium dan antikuiti.
Ada yang berpandangan sinis bahawa 18 kes berprofail tinggi itu telah disimpan Rais di Jabatan Arkib dan Antikuiti atas arahan kabinet!
www.harakahdaily.net
No comments:
Post a Comment