26 September 2008

Pemimpin berzina langsung tidak ada tempat dalam masyarakat

Chua dedah ada konspirasi bunuh karier politiknya

PETALING JAYA: Calon Timbalan Presiden parti MCA, Datuk Seri Dr Chua Soi Lek mendedahkan terdapat satu konspirasi untuk membunuh karier politik beliau yang sedang bergerak di peringkat perwakilan.

Katanya, konspirasi itu membabitkan pengedaran karikatur yang menggambarkan beliau dalam pelbagai aksi yang bertujuan untuk menjatuhkan imejnya di samping menggambarkan seolah-olah beliau seorang doktor dan wakil rakyat yang tidak bertanggungjawab.

Beliau berkata, karikatur dengan tiga situasi iaitu semasa beliau berkhidmat sebagai doktor perubatan, semasa menjadi menteri kesihatan dan yang terakhir sebagai calon yang mempraktikan rasuah menjelang pemilihan pucuk pimpinan MCA 18 Okt ini.

"Mereka gambarkan saya sebagai seorang pengamal perubatan yang tidak beretika di samping saya sebagai menteri yang mendapat habuan bagi setiap projek pembangunan kementerian.

"Saya juga digambarkan memberi sogokan RM10,000 kepada perwakilan bagi membeli undi sedangkan saya tidak pernah memberi wang kepada mana-mana orang terutama perwakilan," katanya pada sidang akhbar di sini, hari ini.

Pengedaran karikatur itu bermula sejak awal bulan lepas dan ia semakin giat selepas beliau mengumumkan untuk bertanding jawatan timbalan presiden parti.

Sebanyak 12 keping kertas fotostat yang penuh dengan pelbagai karikatur Dr Chua didapati telah diedarkan.

Bagaimanapun, sehingga ini tidak ada berita gambar-gambar itu sampai ke tangan anggota MCA.

Inilah kali pertama karikatur seperti itu diedarkan menjelang musim pemilihan parti.

Dr Chua berkata beliau sudah membuat laporan di Balai Polis Petaling Jaya mengenainya.

Katanya, beliau juga sudah menyerahkan nama dua anggota MCA yang dipercayai mempunyai kaitan rapat dengan kes ini kerana mereka tahu apa yang berlaku dalam kementerian semasa beliau menjadi Menteri Kesihatan.

"Biarlah polis yang membuat siasatan dan jika betul, mereka pasti akan menerima habuan dari kerja tidak bermoral itu," katanya. BERNAMA

No comments:

Post a Comment