15 September 2008

Pak Lah masih punya beberapa minggu untuk hapuskan ISA, kembalikan BM, bebaskan media dan polis | Sejarah akan terpahat sebagai PM yang mulia

Penghujung jalan – Pak Lah

Kenyataan membiarkan proses demokrasi dalam UMNO berlaku dalam menentukan tempoh peralihan kuasa menunjukkan bahawa Datuk Seri Najib Tun Abdul Razak bersetuju dengan Tan Sri Muhyiddin Yassin bahawa tempoh yang ditetapkan untuk peralihan kuasa agak lama dan perlu dipercepatkan. Peralihan kuasa dari Pak Lah ke Najib berlaku setelah UMNO dan Barisan Nasional menghadapi tamparan hebat dalam PRU ke 12 baru-baru ini dan kenyataan Muhyiddin untuk mempercepatkan proses tersebut berlaku LAGI apabila UMNO tewas di Permatang Pauh.

Barisan Nasional kini tergugat dan sehingga hari ini Barisan Nasional dan UMNO tidak lagi nampak bahawa ada tanda-tanda keadaan semakin pulih. Barisan Nasional dan UMNO sudah seakan tersisih dan keadaan ini bertambah buruk dalam menilai sokongan kaum lain seperti Cina dan India.

Sokongan kaum lain terhadap Barisan Nasional kini longgar sehingga ada yang mengatakan bahawa peralihan sokongan ini adalah kerana kegagalan UMNO. UMNO telah didesak berubah. MCA dan Gerakan kerap mengatakan bahawa perubahan dalam UMNO itu perlu dan perubahan itu sekiranya tidak dilakukan maka BN akan terus mengalami masa-masa gelap mereka.

Namun perubahan yang dinanti dalam UMNO semakin jauh dan seakan tidak ada. UMNO dipersalahkan dalam setiap tindakan dan kesalahan ini berdasarkan keberkesanan kempen pembangkang khususnya PKR. Keberkesanan ini kerana UMNO lemah dan kerana UMNO gagal khususnya dari segi penerangan UMNO. Penerangan UMNO masih ortodoks dan sehingga gagal melihat cara-cara kempen yang agresif. Kepimpinan UMNO masih terikat kepada hierarki dalam UMNO dalam menentukan langkah sedangkan mereka tahu bahawa mereka sudah perlu melihat keluar untuk tujuan ini. Langkah dan pemikiran ortodoks mereka tewas dengan keupayaan pembangkang dalam membentuk sentimen dengan berjaya. UMNO terus lambat bertindak dan sentiasa mengekori pembangkang khususnya PKR dalam konteks perang saraf dan pembentukan sentimen.

Hari ini Pak Lah digambarkan sebagai gagal dalam melaksanakan tugas dan fungsi dalam mentadbir negara. Pak Lah di hambat dan Pak Lah gagal dalam melaksanakan polisi yang sebelum ini nampak ikhlas dan jujur. Keadaan ini jelas dengan keadaan sokongan kepada BN khususnya UMNO semakin menawar. Pak Lah dikatakan gagal, namun persoalannya apakah bakal pengganti beliau mampu melakukan perubahan untuk UMNO dan Barisan Nasional di terima.

Apa pun dari pengamatan yang ada, Pak Lah memang sekarang ini di penghujung jalan. Pak Lah kena terima hakikat bahawa UMNO sendiri sudah mula menunjukkan simptom menolak Pak Lah. Ini semakin hari semakin kelihatan semakin kuat. Mungkin sudah sampai masa Pak Lah memikirkan dengan segera bahawa kedudukan beliau hari ini menyebabkan UMNO terpecah. Mungkin Pak Lah sudah sampai penghujung jalan.

www.umno-reform2.com

No comments:

Post a Comment